- Iklan -
Berita

Anggota polis marin dituduh 101 lagi pertuduhan terima rasuah, keseluruhan 144

Melibatkan nilai keseluruhan suapan sebanyak RM389,390 membabitkan lapan individu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis marin berpangkat koperal Zubairi Abdul Mutalib, 60, (tengah) yang dituduh atas 43 pertuduhan menerima rasuah semalam, didakwa atas 101 lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini membabitkan jumlah suapan lebih RM 243,000. Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dibacakan serentak, bersama 101 pertuduhan pilihan di hadapan Hakim S. Indra Nehru. Gambar: Bernama

Seorang anggota polis marin berpangkat koperal yang dituduh atas 43 pertuduhan menerima rasuah semalam, didakwa atas 101 lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini membabitkan jumlah suapan lebih RM 243,000.

Tertuduh, Zubairi Abdul Mutalib, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dibacakan serentak, bersama 101 pertuduhan pilihan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Berdasarkan pertuduhan, Zubairi sebagai ketua jentera bot ronda PSC 16 di Pengkalan Polis Marin, Kg Acheh, Sitiawan, didakwa menerima suapan berupa wang tunai daripada tujuh individu antara Mei 2016 hingga Julai 2019.

Wang tunai itu diterima tertuduh sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan perhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap beberapa bot yang dikatakan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, sepanjang tempoh itu.

Bagi kesemua 101 pertuduhan itu, tertuduh didakwa menerima suapan antara RM7,285 sehingga RM123,390 dengan jumlah keseluruhan RM243,040.

Ia menjadikan keseluruhan 144 pendakwaan yang dihadapi tertuduh sejak semalam, melibatkan nilai keseluruhan suapan sebanyak RM389,390 membabitkan lapan individu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Ia menjadikan keseluruhan 144 pendakwaan yang dihadapi tertuduh sejak semalam, melibatkan nilai keseluruhan suapan sebanyak RM389,390 membabitkan lapan individu.

Tertuduh turut didakwa dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM48,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Aizad Fakri.

Pengamal media yang menunggu sejak pukul 8.30 pagi tadi, tidak dibenarkan memasuki kamar pendakwaan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.