- Iklan -
Berita

Mahkamah cadang kes saman Tony Pua, Najib selesai cara baik

Kedua-dua pihak juga boleh merujuk kes itu di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini mencadangkan supaya kes saman difailkan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee terhadap bekas perdana menteri Najib Razak empat tahun lepas, atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan secara baik.

Peguam Tan Cheng Leong yang mewakili Pua berkata Hakim Rozana Ali Yusof meminta supaya pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencari penyelesaian terhadap kes tersebut.

“Mahkamah meminta pihak-pihak mempertimbangkan sama ada dapat menyelesaikan kes secara baik atau merujuk kes itu di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi,” katanya yang turut memaklumkan bahawa pihak-pihak berkenaan perlu mendapatkan arahan daripada anak guam masing-masing terlebih dahulu berhubung cadangan mahkamah.

Tan berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Rozana menerusi e-mel hari ini.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan 25 Februari ini ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 6 Januari tahun lepas, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman sivil itu sementara menunggu perbicaraan kes jenayah 1MDB yang dihadapinya selesai.

Dalam perbicaraan kes 1MDB, pasukan pembelaan peguam akan menyambung soal balas terhadap saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman, 47, pada perbicaraan yang akan bersambung 8 Februari ini.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari 2017 atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pua mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah Ahli Parlimen Pekan, perdana menteri pada ketika itu dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan dalam kapasiti berkenaan beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini menolak saman Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam dan ahli Parlimen Damansara itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Pua mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 19 November 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib semasa menjadi perdana menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan Pua boleh meneruskan samannya terhadap Najib serta kerajaan Malaysia melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sivil.