- Iklan -
Berita

Kerajaan perpaduan tidak akan berjaya, kata pemikir

Chandra Muzaffar berkata, cadangan itu sukar dilaksanakan disebabkan wujudnya ahli politik yang terlalu taksub mahukan kuasa.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar tidak bersetuju dengan gesaan menubuhkan kerajaan perpaduan. Gambar: Facebook
Pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar tidak bersetuju dengan gesaan menubuhkan kerajaan perpaduan. Gambar: Facebook

Pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar tidak bersetuju dengan gesaan menubuhkan kerajaan perpaduan, mengatakan saling tidak percaya antara satu sama lain dalam kalangan blok politik akan menyebabkannya tidak mencapai objektif diharapkan.

Sebaliknya beliau berkata, jawatankuasa khas bi-partisan diumumkan baru-baru ini selepas daurat Covid-19 diisytiharkan adalah lebih efektif.

Katanya, jawatankuasa itu seharusnya diberikan peranan lebih besar sebaik sahaja darurat ditamatkan untuk membangkitkan isu-isu berkait pandemik dan pemulihan ekonomi.

“Jawatankuasa kerajaan-pembangkang di peringkat kebangsaaan dan negeri dengan agenda spesifik untuk kesejahteraan rakyat diharapkan dapat mengurangkan saling tidak percaya dan curiga sekali gus memperbaiki hubungan antara parti dan antara personaliti,” kata Chandra kepada MalaysiaNow.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas darurat Covid-19 yang akan melibatkan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dan akan melapor terus kepada Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh darurat.

Blok terbesar pembangkang, Pakatan Harapan sudah bersetuju untuk menyertai jawatankuasa itu, tetapi mengatakan cadangan pertama mereka ialah agar darurat dibatalkan.

Chandra berkata, masalah utama dengan kerajaan perpaduan ialah ia akan melibatkan pemimpin-pemimpin politik yang terlalu gilakan jawatan.

“Kerajaan yang mempunyai pemimpin-pemimpin seperti ini akan bergaduh tidak sudah-sudah untuk sesetengah jawatan. Ini akan menyebabkan tumpuan mereka beralih dan akan menyebabkan kerajaan lebih tidak stabil,” katanya.

“Dalam bahasa mudahnya, perpecahan yang lebih besar daripada bersatu dalam kerajaan”.

Katanya, kerajaan perpaduan pada ketika parti-parti politik “saling tidak percaya” antara satu sama lain menjadikannya sukar untuk dilaksanakan.

“Tidak pernah dalam sejarah kita penolakan secara terang-terangan parti politik atau pemimpin politik ditonjolkan sebagai syarat kerjasama politik”.

Chandra berkata, masalah utama dengan kerajaan perpaduan ialah ia akan melibatkan pemimpin-pemimpin politik yang terlalu gilakan jawatan.

Beberapa penganlisis termasuk pemimpin politik mahukan pembangkang diberikan peranan lebih besar, mengatakan pelbagai krisis dihadapi negara memerlukan kerajaan perpaduan ditubuhkan bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan “politicking”.

Tetapi Chandra berkata pengalaman lepas menunjukkan ahli-ahli politik tidak akan boleh bekerjasama dalam satu kerangka tunggal dan pernah gagal sebelum ini.

Katanya, Agong dan pemerintah di negeri-negeri boleh memainkan peranan lebih penting dengan jawatankuasa bi-partisan menasihatkan mereka.

“Memandangkan peranan mereka dari segi memberikan nasihat, ia tidak akan bercanggah dengan Kabinet Persekutuan dan majlis mesyuarat kerajaan negeri. Selain itu, fungsi dan peranan jawatankuasa penasihat ini hanya memfokuskan kepada pandemik dan pemulihan ekonomi, oleh itu batas-batas berhubung peranan mereka adalah jelas,” katanya.

Chandra berkata, dengan ini raja-raja akan memainkan peranan lebih bermakna “sebagai dimensi keempat pentadbiran dalam masyarakat kita”.

Beliau memberikan amaran, pandemik Covid-19 akan memakan masa bertahun-tahun untuk pulih dan menggembalikan kepada kehidupan normal dan disebabkan itu memerlukan kestabilan politik yang tinggi.

“Perkara terakhir yang kita mahukan sepanjang dua tahun akan datang ialah ketidakstabilan politik disebabkan percaturan menaikkan atau menggulingkan seseorang.

“Ketidakstabilan seperti itu bukan sahaja tidak membantu dalam memerangi coronavirus tetapi akan membantutkan pemulihan ekonomi dan menjejaskan keamanan dan keharmonian kita sebagai sebuah negara,” kata Chandra.