- Iklan -
Berita

Peniaga makanan di Sarawak hadapi masalah aliran tunai apabila berpindah dalam talian

Perkara kecil seperti khidmat penghantaran mampu mengganggu pendapatan mereka.

Our Sarawak Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana gerai makan di Kompleks Kubah Ria yang kini tidak semeriah dahulu sebelum pandemik Covid-19 melanda awal tahun lepas.
Suasana gerai makan di Kompleks Kubah Ria yang kini tidak semeriah dahulu sebelum pandemik Covid-19 melanda awal tahun lepas.

Apabila Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pertama kali pada Mac tahun lalu, Siti Masniah Zainudin tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali memindahkan perniagaan makanannya ke dalam talian.

Hari ini, selepas hampir semua negeri kembali dilaksanakan PKP 2.0, dia terpaksa kembali ke dunia digital bersama-sama pengusaha makanan lain seperti dirinya.

Namun, berpindah ke dalam talian lebih mudah diungkapkan berbanding melakukannya, itu yang mereka belajar.

“Ia bukan sekadar mendepani ekonomi digital,” Siti Masniah, 56, memberitahu MalaysiaNow.

“Peniaga kecil seperi kami perlu ke dalam talian kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baru. Namun, ia menuntut kami mengeluarkan kos lebih daripada biasa. Malah, penjualan secara dalam talian tidak menguntungkan.”

Siti Masniah yang berada di Kuching, Sarawak merupakan satu-satunya negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia membolehkan kelonggaran lebih banyak dari segi aktiviti perniagaan dan sosial.

Pun begitu, banyak pengusaha makanan tidak pasti sama ada perniagaan mereka akan kembali seperti sedia kala menjelang akhir tahun ini.

Ramai peniaga di Kompleks Kubah Ria mengatakan pandemik yang melanda negara ini awal tahun 2020 menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

“Sebelum Covid-19, ruang makan akan dipenuhi penduduk tempatan dan ahli keluarga mereka yang datang ke sini untuk makan,” kata Adam Talit.

“Sekarang, orang tidak lagi datang ke sini untuk makan. Ramai risau untuk keluar dan lebih suka memesan secara dalam talian daripada perkhidmatan penghantaran makanan.”

Bagi Siti Masniah, Adam dan beribu-ribu yang lain, aliran tunai adalah masalah kritikal.

Pelanggan yang makan di kedai menurun secara mendadak ditambah pula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta kos tambahan untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.

Siti Masniah mengatakan beberapa perkhidmatan penghantaran makanan mengenakan caj “tinggi” sehingga 50% daripada jumlah jualan yang menyebabkan peniaga kecil sukar untuk mengikutinya.

“Sekarang, orang tidak lagi datang ke sini untuk makan. Ramai risau untuk keluar dan lebih suka memesan secara dalam talian daripada perkhidmatan penghantaran makanan.”

“Suka atau tidak, peniaga kecil seperti kami terpaksa cari jalan lain untuk terus bertahan.”

Salah satu cara dengan menaikkan harga makanan.

“Tetapi menaikkan harga sesuka hati tak mudah,” tambah Siti Masniah.

“Kos sara hidup di Sarawak, terutamanya di Kuching, lebih murah berbanding negeri-negeri lain.”

Katanya, di Sarawak, RM5 sudah boleh membeli sepinggan nasi ayam atau mi kolok.

“Namun, jika saya terus menjual nasi goreng cornbeef pada harga RM7, bayangkan dengan 50% caj dikenakan perkhidmatan penghantaran, dan termasuk kos-kos lain seperti sewa dan gaji kakitangan, saya tak rasa perniagaan saya mampu bertahan.”

Bagi Bob Lee yang menjual minuman, perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan hanya merumitkan lagi keadaan.

“Jika pelanggan memesan minuman panas, saya perlu beli bekas lain bagi memastikan minuman itu sampai dengan selamat,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan jika saya ingin menjual air minuman secara dalam talian.”

Kebanyakan peniaga ini mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk membantu mereka terus berniaga.

“Lebih baik jika kerajaan dapat memberikan subsidi kepada peniaga kecil bagi menampung kos penghantaran,” kata Siti Masniah.