- Iklan -
Berita

Mahkamah Singapura dengar rayuan lelaki cabar undang-undang haramkan seks sejenis

Seorang doktor yang menganjurkan rapat umum pertama menyokong komuniti homoseksual di Singapura itu mencabar Seksyen 377A, Kanun Keseksaan.

Our Regional Correspondent
1 minit bacaan
Kongsi
Di Singapura, Seksyen 377A, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mana-mana lelaki yang melakukan hubungan sejenis di tempat awam atau peribadi boleh dipenjarakan sehingga dua tahun. Gambar: AFP
Di Singapura, Seksyen 377A, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mana-mana lelaki yang melakukan hubungan sejenis di tempat awam atau peribadi boleh dipenjarakan sehingga dua tahun. Gambar: AFP

Mahkamah Rayuan Singapura akan mendengar hujah seorang lelaki “gay” berusia 63 tahun untuk memansuhkan undang-undang yang menjadikan hubungan seks sejenis sebagai satu jenayah, setahun selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya.

Dr Roy Tan, seorang pengamal perubatan yang sedekad lalu menganjurkan rapat umum bagi menyokong komuniti homoseksual di Singapura diwakili oleh peguam hak asasi manusia terkemuka republik itu, M Ravi.

“Saya memfailkan cabaran pertama pada 2010 apabila pertama kali bertemu dengan Dr Roy, yang bersama-sama kami ketika mengambil tindakan undang-undang selama bertahun-tahun yang memberikan semua lelaki gay keberanian untuk mencabar undang-undang yang mendiskriminasikan dan tidak masuk akal ini.

“Ia merupakan perjalanan panjang bagi mendapat keadilan dan kesaksamaan. Saya harap kali ini, 377A akan dimansuhkan,” katanya merujuk kepada Seksyen 377A, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan mana-mana lelaki yang melakukan hubungan sejenis di tempat awam atau peribadi boleh dipenjarakan sehingga dua tahun.

Pada 2019, Tan memfailkan cabaran perlembagaan terhadap undang-undang itu, mengatakan ia sudah tidak dikuatkuasakan.

Akan tetapi Mahkamah Tinggi membuat keputusan tahun lalu mengatakan tidak menguatkuasakan tidak menjejaskan kebeperlembagaannya.

Peguam kerajaan berhujah sebarang usaha untuk memansuhkan undang-undang itu harus dilakukan oleh Parlimen dan bukannya mahkamah.

Tan kini mahu mahkamah mengarahkan kerajaan untuk membentangkan bil untuk memansuhkan Seksyen 377A.

Ini bukanlah kali pertama undang-undang yang mendiskrimikasikan hubungan sejenis itu dicabar. Pada 2014, Mahkamah Rayuan mengenepikan cabaran sama oleh pasangan lelaki, dalam satu penghakiman yang kekal mengikat.

Pemerintah Singapura menegaskan undang-undang yang digubal semasa zaman penjajahan British itu, tidak akan dikuatkuasakan.

Pada 2019, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, walaupun undang-undang itu masih wujud, Singapura mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bekerja di republik itu “tanpa mengira orientasi seksual”.