- Iklan -
Berita

Berbalah jawatan PM ketika negara berdepan Covid-19 kerja mengarut, kata Hadi

Perbalahan itu hanya mengganggu usaha membantu rakyat yang terkesan oleh penularan pandemik tersebut, justeru harus dihentikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang. Gambar: Bernama

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan perbalahan mengenai jawatan perdana menteri ketika negara berdepan pandemik Covid-19 sebagai perbuatan mengarut dan tidak peka dengan kesusahan yang dihadapi rakyat.

Beliau berkata, perbalahan itu hanya mengganggu usaha membantu rakyat yang terkesan oleh penularan pandemik tersebut, justeru harus dihentikan.

“Perkara yang tak patut kita buat pada masa ini, berbalah siapa nak jadi perdana menteri, nak lantik siapa perdana menteri.

“Suasana sebegini (ketika Covid-19) nak berbahas perkara itu (jawatan perdana menteri), nak cukup undi Parlimen, ini semua kerja-kerja mengarut. Tidak peka dengan wabak yang menimpa rakyat, ini mesti ditolak dan dicegah,” katanya dalam ucapan penangguhan webinar Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan? secara dalam talian di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Hadi berkata antara sebab perisytiharan darurat dibuat segera ialah bagi mengelakkan berlaku kemudaratan lebih besar di negara ini.

“Ada orang kata kenapa tidak dibincang dahulu, kita kena sedar bahawa darurat ini mudarat yang datang dengan segera, yang mesti dibendung dengan serta-merta, tidak boleh dibincang,” katanya dan menambah ada perkara yang boleh dibincangkan ketika darurat seperti tempoh tamat pelaksanaannya.

“Suasana sebegini (ketika Covid-19) nak berbahas perkara itu (jawatan perdana menteri), nak cukup undi Parlimen, ini semua kerja-kerja mengarut. Tidak peka dengan wabak yang menimpa rakyat, ini mesti ditolak dan dicegah,” katanya dalam ucapan penangguhan webinar Proklamasi Darurat: Apakah Satu Keperluan? secara dalam talian di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 12 Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Agong memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau hingga ke suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.