- Iklan -
Berita

Tiada apa yang ‘pelik’ hakim sabitkan Najib dipindahkan, kata sumber kehakiman

Ia adalah proses biasa bagi seorang hakim dipindahkan setiap tiga tahun.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan dipindahkan semula ke Mahkamah Sivil pada bulan Mac. Gambar: Bernama
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan dipindahkan semula ke Mahkamah Sivil pada bulan Mac. Gambar: Bernama

MalaysiaNow difahamkan pemindahan hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak atas tujuh tuduhan rasuah pada Julai tahun lalu hanya amalan biasa dan ia bukan sesuatu yang pelik bagi mereka yang faham mengenai institusi kehakiman.

Perkara itu menjadi perhatian selepas portal Malaysiakini melaporkan arahan untuk hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dipindahkan mungkin menimbulkan persoalan mengenai kebebasan badan kehakiman, dengan memetik seorang peguam menyifatkannya sebagai sesuatu yang “pelik”.

Arahan perpindahan Nazlan diluluskan oleh Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dan akan berkuat kuasa bulan Mac.

Beberapa individu yang biasa dengan sistem kehakiman mengatakan pertukaran hakim adalah proses biasa yang berlaku setiap tiga tahun.

“Ia proses biasa. Menjadi kebiasaan buat seseorang hakim sendiri minta dipindahkan, atau pihak pentadbiran memberikannya satu peluang menimba pengalaman di tempat lain.

“Tidak ada apa-apa yang pelik,” kata satu sumber kepada MalaysiaNow tanpa ingin dinamakan.

Nazlan, 54, merupakan hakim makhamah komersial sebelum dipindahkan ke mahkamah tinggi pada Ogos 2018 menjelang perbicaraan Najib melibatkan kes pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berjumlah RM42 juta membabitkan SRC International.

Pada bulan Julai tahun lalu, Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan denda berjumlah RM210 juta selepas mensabitkannya di atas semua tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Dalam rayuan Najib, peguamnya mengemukakan lebih daripada 300 sebab untuk mengenepikan sabitan itu, yang akan didengar pada 15 Februari ini.

Pada Disember lalu, Nazlan juga memberi pelepasan tanpa pembebasan kepada bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor kerana menerima rasuah bernilai RM1 juta pada 2013, selepas pihak pendakwaan memberitahu mahkamah mengenai perkembangan baru dalam kes itu.

Satu lagi sumber turut menolak ketiadaan Nazlan bagi mendengar perbicaraan Najib akan menjejaskan kebebasan mahkamah.

Katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara khusus menyebut mengenai kebebasan badan kehakiman ketika mengumumkan pengisytiharan darurat bagi memerangi Covid-19.

“Badan kehakiman akan terus menjadi badan bebas dalam negara kita dan saya tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah,” kata Muhyiddin pada 12 Januari lalu, ketika mengumumkan penggantungan Parlimen bagi mengelak pilihan raya musim pandemik.