- Iklan -
Berita

Kerajaan beri jaminan kertas soalan SPM, STPM berbeza bagi pelajar dijangkiti Covid-19

Tindakan itu dilakukan supaya tiada kes kebocoran kertas soalan berlaku.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian akan memastikan standard kertas peperiksaan sama walaupun mungkin set yang berlainan. Gambar: AP
Kementerian akan memastikan standard kertas peperiksaan sama walaupun mungkin set yang berlainan. Gambar: AP

Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan set kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang berbeza kepada calon-calon disahkan positif Covid-19 bagi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Habibah Abdul Rahim berkata, pelajar yang bebas wabak itu selepas 14 hari akan menduduki peperiksaan baki kertas yang masih berjalan bersama pelajar lain.

Manakala bagi kertas yang sudah terlepas akan diambil kemudian mengikut jadual yang disusun semula oleh kementerian pelajaran.

“Jika pelajar positif Covid-19 atau perlu jalani kuarantin maka dia tidak boleh menduduki peperiksaan.

“Sudah pasti kementerian akan menyediakan set yang lain kerana kita tidak mahu berlaku kes kebocoran kertas soalan bagi pelajar yang sudah menduduki peperiksaan tersebut sebelum ini.

“Tetapi kementerian akan memastikan standardnya sama. Walaupun mungkin kertas berlainan tetapi standardnya akan sama,” katanya pada sidang media dalam talian berkaitan Pengoperasian Sekolah Tahun 2021 hari ini.

Beliau pada masa sama menegaskan calon SPM atau STPM tidak boleh sesuka hati memilih untuk mengambil atau tidak peperiksaan yang ditetapkan jika tidak mempunyai sebarang gejala dan bukti daripada doktor diperlukan bagi mengesahkan dijangkiti Covid-19.

“Jika pelajar positif Covid-19 atau perlu jalani kuarantin maka dia tidak boleh menduduki peperiksaan.

Habibah turut memberi jaminan, semua keputusan akan diumumkan serentak dan pemarkahan akan mengikut standard piawaian yang ditetapkan dan tiada peperiksaan alternatif untuk menggantikan SPM.

Katanya, ini kerana standard SPM semasa diiktiraf Cambridge sebagai setanding peperiksaan “O-level” antarabangsa manakala STPM pula setaraf “A-level”.

“Sehingga kini kementerian pelajaran tidak melihat peperiksaan SPM dan STPM 2020 akan ditangguhkan kerana menyedari betapa pentingnya untuk pelajar-pelajar ini menduduki peperiksaan tersebut.

“Jika berlaku sebarang situasi yang menghalang untuk peperiksaan ini diteruskan kita akan ikut arahan dan nasihat yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi buat masa sekarang kita akan teruskan seperti yang dirancang.”

Mengulas mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), Habibah berkata kaedah pembelajarannya tidak terbatas kepada PdP dalam talian.

Sebaliknya katanya, PdPR turut melibatkan penggunaan kaedah offline, TV Pendidikan dan penggunaan bahan bercetak.

“Kementerian akui banyak jurang yang wujud dalam kalangan murid melibatkan memiliki alat komunikasi sendiri seperti tablet, notepad dan laptop begitu juga dalam mendapatkan liputan internet.

“Sehubungan itu kementerian ada menyarankan pihak sekolah dan guru menggunakan kaedah lain selain daripada talian internet seperti hybrid dan pek aktiviti pengajaran.

“Guru boleh mempelbagaikan aktiviti pengajaran mereka mengikut kesesuaian pelajar-pelajar mereka.

“Saya yakin semua guru kreatif dan komited dalam melaksanakan hal demikian. Banyak sekolah sudah laksanakan kaedah pengajaran secara model dan ada juga sekolah juga sediakan stesen tertentu untuk murid ambil buku teks dan buku latihan.”

Mengulas mengenai peruntukan untuk memberi satu notebook kepada satu keluarga, katanya perkara itu masih dalam peringkat perancangan.

“Dalam Belanjawan 2021 ada peruntukan untuk membekalkan notebook kepada setiap keluarga namun ia masih dalam peringkat perancangan.

“Bagaimanapun kementerian dan Yayasan Hasanah akan memikirkan jalan terbaik bagaimana hendak merealisasikannya seperti yang dibentangkan dalam belanjawan itu.”