Thursday, December 2, 2021

Influenza: Suntikan berkala mampu jimatkan wang dan tekanan

Pakar geriatrik mengesyorkan warga tua dalam keluarga diberi vaksin influenza, terutamanya dalam keadaan pandemik ini.

Other News

Negara yang kini masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan tercari-cari bagaimana untuk kekal selamat daripada virus, mungkin sudah lupa mengenai satu lagi penyakit berkaitan sistem pernafasan yang tidak pernah lenyap: Ia adalah influenza.

Covid-19 dan influenza, kedua-duanya merupakan penyakit berjangkit berkaitan sistem pernafasan yang menyerang hidung, tekak dan paru-paru.

Walaupun simptomnya seakan sama, kedua-dua penyakit ini berpunca daripada virus yang berbeza.

Ramai orang sering melakukan kesilapan beranggapan influenza hanya demam selesema, tetapi sebenarnya tidak.

Wabak maut itu mula ditemui pada lewat tahun 1918.

Menjelang musim bunga tahun berikutnya, 100 juta orang maut – lebih ramai daripada jumlah maut akibat pandemik Black Death pada zaman gelap dalam tempoh satu abad.

Perlumbaan bagi membangunkan vaksin melawan penyakit “baru” influenza dilakukan dengan terburu-buru pada masa itu sama seperti apa yang berlaku ketika ini bagi mencari penawar koronavirus, dan ia memerlukan masa lebih lama untuk berjaya.

Pada tahun 1955, vaksin yang berkesan berjaya dibangunkan di Amerika Syarikat (AS), dan selepas beberapa tahun pemvaksinan dijalankan, ia berjaya mengurangkan influenza daripada berulang menjadi wabak yang teruk.

Kini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 250,000 hingga 650,000 kematian tahunan berlaku di seluruh dunia akibat komplikasi berpunca daripada influenza seperti pneumonia.

Kebiasaannya ia disebarkan melalui titisan air yang keluar apabila orang yang dijangkiti itu batuk, bersin atau bercakap.

Di Asia Tenggara, influenza boleh dijangkiti pada bila-bila masa sepanjang tahun, dan menduduki tangga ketiga di dunia bagi kematian disebabkan jangkitan itu.

Ia mungkin dapat dikurangkan, tetapi ia masih boleh membawa maut kepada sesetengah orang.

Simptom dan kesannya boleh jadi ringan hingga parah pada semua peringkat umur, tetapi kanak-kanak di bawah usia lima tahun dan warga emas adalah kumpulan paling berisiko tinggi.

Dr Rizah Mazzuin Razali, pakar geriatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberitahu MalaysiaNow risiko maut paling tinggi melibatkan warga emas dengan komorbiditi biasa kepada golongan itu, seperti penyakit jantung, darah tinggi dan diabetes.

Walaupun vaksin influenza wujud sejak beberapa dekad lalu, varian baru dibangunkan dua kali setahun kerana ia sering berubah-rubah.

Tidak seperti golongan muda, warga emas pada umumnya tidak menunjukkan simptom influenza, katanya.

Biarpun keberkesanannya berbeza-beza setiap tahun, kebanyakan mampu memberi perlindungan memadai hingga tinggi terhadap influenza.

WHO dan pakar penjagaan kesihatan di seluruh dunia mengesyorkan orang ramai mengambil suntikan terutamanya warga emas.

Rizah tidak pernah jemu memberitahu orang ramai betapa penting bagi mereka menjaga ahli keluarga yang lanjut usia dengan memberi mereka vaksin influenza tanpa perlu menunggu simptom wujud.

Tidak seperti golongan muda, warga emas pada umumnya tidak menunjukkan simptom influenza, katanya.

“Pada saat mereka menunjukkan simptom, berkemungkinan besar penyakit itu sudah melarat dan mereka boleh mengalami komplikasi mengancam nyawa.”

Rizah, yang merupakan ahli Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG), selalu memberi jaminan kepada pesakit dan keluarga bahawa vaksin influenza adalah selamat dan mampu memberikan perlindungan terbaik.

“Pesakit yang diberikan vaksin setiap tahun lebih berkesan,” katanya, dan menambah jarang sekali mereka mengalami kesan sampingan.

Dengan memberi vaksin influenza, ia juga mengurangkan jumlah warga emas yang dimasukkan ke hospital bersama komorbiditi mereka.

“Kebanyakan warga emas dimasukkan ke hospital kerana penyakit kronik yang dialami dan kita boleh mengurangkan risiko rawatan disebabkan jangkitan pada paru-paru,” kata Rizah.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan memberikan pengecualian cukai bagi mereka yang membeli vaksin influenza.

Hospital dan beberapa klinik swasta turut menawarkan suntikan vaksin itu.

Rizah mengakui kos membeli vaksin influenza mungkin mahal tetapi mengatakan ia satu pelaburan yang baik kerana rawatan penyakit itu lebih tinggi.

“Menjaga golongan tua bukannya murah. Rawatan di hospital mampu mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari dan purata untuk seseorang yang lemah dirawat mungkin memakan masa 10 hingga 14 hari,” katanya kepada MalaysiaNow.

Spanish flu, Russian flu, H1N1 semuanya sudah meragut berjuta-juta nyawa.

Influenza bukan hanya demam selesema.

Dan kini, Rizah memberitahun MalaysiaNow Covid-19 dan influenza boleh dijangkiti serentak, dan warga emas adalah yang paling terdedah dalam tempoh pandemik ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles