- Iklan -
Berita

Selepas respons hambar, aktivis kerja keras raih sokongan cabar darurat Covid-19

Bersih dan Abim adalah antara yang menyokong tindakan undang-undang untuk membatalkan darurat.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pihak mengkritik kerajaan kerana mengisytiharkan darurat, dan berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sudah mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19.
Beberapa pihak mengkritik kerajaan kerana mengisytiharkan darurat, dan berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sudah mencukupi untuk mengekang penularan Covid-19.

MalaysiaNow difahamkan, respons hambar daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk mencabar pengisytiharan darurat Covid-19 menyebabkan beberapa aktivis melancarkan kempen untuk mengajak lebih ramai lagi bersama-sama mengambil tindakan undang-undang kepada kerajaan.

Tindakan undang-undang yang diambil terhadap kerajaan Muhyiddin Yassin kerana “memberikan nasihat yang salah” kepada Agong, bertujuan untuk mengisytiharkan darurat sebagai tidak sah.

Sumber memberitahu MalaysiaNow, setakat ini hanya “empat atau lima” NGO yang menyokong tindakan undang-undang itu termasuk Bersih 2.0 dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu mengetuai usaha untuk membantah pengisytiharan darurat, mengatakan beliau sudah menyiapkan pasukan peguam untuk mencabar kerajaan di mahkamah.

Tetapi semalam Anwar menafikan mahu mencabar pengisytiharan darurat, mengatakan beliau hanya mahu Agong memanggil sidang Parlimen tergempar semasa tempoh darurat.

Difahamkan, lebih 20 NGO didesak untuk memberikan jawapan hari ini sama ada mereka mahu menyertai tindakan undang-undang untuk membatalkan darurat yang diisytiharkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pengkritik kepada darurat mengatakan perintah kawalan pergerakan sudah mencukupi untuk melawan pandemik Covid-19, yang menyaksikan jangkitan harian sebanyak empat angka setiap hari, kematian melebihi 600 orang, satu peningkatan mendadak selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada September.

Amaran daripada pihak berkuasa kesihatan tentang penyebaran virus berkait pilihan raya menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang kosong disebabkan kematian penyandang kerusi.

Dengan desakan berterusan daripada ahli Parlimen Umno agar pilihan raya mengejut diadakan melalui penarikan kembali sokongan kepada kerajaan, darurat dilihat sebagai satu-satu jalan untuk mengelakkan pilihan raya pada musim pandemik.