- Iklan -
Berita

Putrajaya beri amaran kompaun RM100,000 kepada syarikat langgar SOP Covid-19

Darurat membenarkan kerajaan untuk menggubal ordinan yang mengenakan hukuman lebih keras kepada pesalah, kata menteri kanan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dua pejalan kaki melalui deretan kedai yang menutup operasi perniagaan di Jalan Bunus, Kuala Lumpur pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.
Dua pejalan kaki melalui deretan kedai yang menutup operasi perniagaan di Jalan Bunus, Kuala Lumpur pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Putrajaya hari ini memberikan amaran hukuman lebih keras menggunakan kuasa darurat untuk kesalahan berkait prosedur operasi standard (SOP) kesihatan, mengatakan Jabatan Peguam Negara sedang meneliti cadangan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bakal menyaksikan kompaun berlipat kali ganda daripada RM1,000 yang dikenakan sekarang.

“Kompaun kepada syarikat mungkin ditambah, sekarang RM1,000 kepada mungkin kepada RM100,000,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, sebaik sahaja peguam negara memberikan lampu hijau, kompaun itu akan berkuat kuasa serta-merta.

Darurat yang diisytiharkan minggu lepas memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggubal undang-undang baru untuk memerangi pandemik Covid-19.

Ismail berkata, hukuman yang dikenakan mengikut undang-undang sedia ada terlalu lembut.

“Kita dapati bahawa salah satu perkara yang menyebabkan kegagalan pematuhan kerana undang-undangnya, dari segi hukumannya, begitu rendah.”

Katanya, mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mereka yang melanggar SOP termasuk perniagaan yang beroperasi melebihi waktu ditetapkan PKP, hanya dikenakan kompaun RM1,000.

“Ramai yang menganggap RM1,000 itu terlalu rendah bagi syarikat-syarikat dan perniagaan.

“Kita pernah menyaman satu syarikat kepada satu syarikat yang melanggar SOP yang menyebabkan pekerja kilangnya ramai yang didapati positif. Dan ramai rakyat yang marah kepada kita kerana denda hanyalah RM1,000. Tetapi ini tidak dapat dielakkan kerana akta menetapkannya.

“Bagaimanapun, sewaktu darurat ini, kita boleh meminda dan menambahkan lagi kompaun,” katanya.