- Iklan -
Berita

Polis panggil Azwan Ali kerana perlekeh proklamasi darurat

Polis menerima laporan berhubung video klip itu berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis memanggil selebriti Azwan Ali kerana didakwa menghina proklamasi darurat. Gambar: Facebook
Polis memanggil selebriti Azwan Ali kerana didakwa menghina proklamasi darurat. Gambar: Facebook

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat satu laporan berhubung rakaman video klip selebriti Azwan Ali, yang dikatakan memperlekeh Proklamasi Darurat yang diisytihar oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed yang mengesahkan polis menerima laporan berhubung video klip itu berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Hari ini, Azwan Ali dipanggil ke pejabat USJT bagi membantu siasatan dan siasatan diteruskan untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah menularkan video klip berkenaan.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta mengganggu gugat keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan.

Rakaman video berdurasi 41 saat berkenaan ditularkan oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama “Zai Mikail” pada 12 Januari lepas.