- Iklan -
Berita

Perang global Covid-19 masih jauh selepas 5 juta kes baru dicatatkan dalam seminggu

Jangkitan Covid-19 masih menang kerana program pemvaksinan hanya mencapai 5%.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Malaysia antara negara yang masih menunggu ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer yang dijangka pada hujung Februari. Gambar: AP
Malaysia antara negara yang masih menunggu ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer yang dijangka pada hujung Februari. Gambar: AP

Hanya lima buah negara yang sudah melaksanakan pemvaksinan Covid-19 mencapai kadar inokulasi lebih daripada 5% penduduk mereka setakat ini, menurut data yang dikeluarkan oleh kumpulan penyelidikan global Our World in Data.

Ini menunjukkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok pendemik Covid-19 masih jauh ketinggalan dengan kadar jangkitan global setiap hari kira-kira lima juta orang.

Data yang dikumpul dari 51 buah negara menunjukkan 17 juta orang diinokulasi sejak beberapa minggu lalu, dengan Israel dan Emiriah Arab Bersatu, masing-masing melibatkan hampir sembilan juta penduduk, menjadikan mereka berada di depan negara-negara lain.

“Ia umpama satu perlumbaan antara jangkitan dan suntikan,” kata majalah kewangan The Economist. “Jika begitu, jangkitan masih menang.”

“Macam-macam boleh berlaku pada bulan-bulan akan datang sebelum semua negara mencapai imuniti untuk mengekang penularan virus,” katanya.

“Sementara itu, ramai akan bergantung kepada kejayaan kerajaan masing-masing melaksanakan perintah kawalan pergerakan.”

Malaysia antara negara yang masih menunggu ketibaan kumpulan pertama vaksinnya, ketika lonjakan kes Covid-19 terus meningkat menyaksikan jangkitan harian melepasi angka 4,000 bulan ini.

“Ia umpama satu perlumbaan antara jangkitan dan suntikan,” kata majalah kewangan The Economist. “Jika begitu, jangkitan masih menang.”

Pihak berkuasa kesihatan tidak lama lagi akan membuka pendaftaran suntikan vaksin, dengan sasaran sebanyak 70% imuniti kelompok membabitkan 23 juta rakyat negara ini.

Malaysia menempah sebanyak 25 juta dos vaksin Pfizer, dan separuh daripadanya akan tiba pada akhir Februari.

Tetapi, peningkatan mendadak dalam kes harian memaksa kerajaan mengumumkan langkah lebih ketat dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, The Economist mengatakan pengunaan pelitup muka dan kaedah bukan perubatan, akan menjadi langkah utama mencegah penularan Covid-19 sehingga bilangan orang yang disuntik vaksin mencukupi bagi mencapai jumlah imuniti kelompok.

Berbilion-bilion penduduk seluruh dunia masih menunggu untuk mendapatkan suntikan, ia mungkin memakan masa sebelum vaksin menunjukkan kesan.

Terdapat juga masalah lain daripada strain baru virus Covid-19 yang dikesan di beberapa negara seperti United Kingdom (UK) dan Afrika Selatan.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan strain koronavirus UK, yang turut dikenali B117, dikesan sekurang-kurangnya di 60 buah negara, berbanding 10 negara pada minggu sebelumnya.

WHO menganggarkan strain B117, yang pertama kali dikesan pada pertengahan Disember, 50% hingga 70% lebih mudah dijangkiti daripada virus asal.

Strain Afrika Selatan, turut dikatakan mudah menjangkiti berbanding virus asal dilaporkan di 23 negara dan wilayah.

Walaupun mudah menjangkiti, bagaimanapun kedua-dua varian itu dianggap tidak merbahaya.

Namun, di sebalik kemunculan pelbagai jenis vaksin, kebanyakan negara masih bergelut untuk melaksanakan program inokulasi mereka.

Kelewatan itu disebabkan masalah logistik termasuk kekurangan penghantaran bekalan vaksin BioNTech / Pfizer.

Sentimen anti vaksin dan keraguan turut memainkan peranan terutama di negara-negara seperti Perancis.

Di Malaysia, tinjauan kerajaan baru-baru ini lebih daripada 200,000 orang menunjukkan bahawa 67% setuju untuk diberi vaksin terhadap Covid-19, yang mempercayai keberkesanannya.

Sebanyak 17% tidak pasti, manakala 16% lagi menolak daripada menerima vaksin itu.