- Iklan -
Berita

Had 8 malam restoran beroperasi untuk kawal pergerakan, kata kerajaan

Kerajaan bersedia berbincang semula mengenai waktu operasi itu selepas pihak peniaga kemuka rayuan.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Pelaksanaan menghadkan waktu operasi restoran dan kedai makan sehingga pukul 8 malam didakwa menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas waktu kerja.
Pelaksanaan menghadkan waktu operasi restoran dan kedai makan sehingga pukul 8 malam didakwa menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas waktu kerja.

Putrajaya bertindak mempertahankan langkah menghadkan waktu operasi restoran, kedai makan dan penghantaran makanan sehingga pukul 8 malam, bagi mengurangkan pergerakan orang ramai pada waktu malam.

Namun, Putrajaya berkata, keputusan itu mungkin akan dibincangkan kembali selepas pihak peniaga mengemukakan rayuan mengenai waktu operasi tersebut.

“Dengan semua operasi perniagaan ditutup pukul 8 malam, ia akan mengurangkan pergerakan selepas waktu itu,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob kepada MalaysiaNow.

Langkah itu menerima kecaman daripada sekumpulan ahli Parlimen pembangkang minggu ini, mengatakan pelaksanaan itu menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas waktu kerja dan mengganggu pemulihan kembali ekonomi.

Mereka juga menggesa supaya semua restoran dibenarkan dibuka untuk pesanan bungkus makanan seperti di dalam lesen yang dimiliki.

Ismail mengatakan jika kerajaan membenarkan mereka beroperasi, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak ada bezanya dengan PKP Bersyarat, pada ketika kes Covid-19 kian meningkat.

Namun, katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN), selaku badan bertanggungjawab akan membuat pertimbangan berhubung perkara itu.

“MKN akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Difahamkan isu itu dibangkitkan dalam mesyuarat harian MKN semalam, dan satu pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Bekas ketua pengarah kesihatan Dr Christopher Lee mengatakan dia meramalkan tidak akan berlaku peningkatan jangkitan jika bungkus dan penghantaran makanan dibenarkan.

“Kebimbangan utama adalah dengan membenarkan orang makan di restoran,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Membungkus dan perkhidmatan penghantaran makanan, risiko jangkitan amat rendah,” tambah Lee.

Sementara itu, Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia mencadangkan supaya waktu operasi dilanjutkan sehingga pukul 10 malam.

“Kita perlu fikirkan ada pekerja perlu berkerja sehingga lewat malam dan mereka tentu lapar terutamanya petugas barisan hadapan,” kata presidennya Dr Raj Kumar Maharajah.

Ismail berkata, kerajaan menyedari akan masalah yang dihadapi oleh peniaga, dan menambah PKP yang dilaksana ketika ini mengurangkan sekatan terhadap lebih banyak kategori perniagaan.

“Ketika PKP pertama, kita tutup semua aktiviti perniagaan, tetapi sekarang kita membenarkan mereka beroperasi tertakluk kepada beberapa syarat, selepas kita mengambil kira kesulitan yang dihadapi peniaga dan orang ramai,” katanya.