- Iklan -
Berita

Bekas pegawai kementerian pertanian didakwa terima rasuah RM100,000

Ia sebagai upah membantu syarikat mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan berjumlah RM37,478,572.55.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua penolong setiausaha kanan sebuah kementerian, Shahrulzaman Jaafar, 43 (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM100,000, berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada sebuah syarikat, tahun lepas. Gambar: Bernama
Bekas ketua penolong setiausaha kanan sebuah kementerian, Shahrulzaman Jaafar, 43 (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM100,000, berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada sebuah syarikat, tahun lepas. Gambar: Bernama

Seorang bekas ketua penolong setiausaha kanan sebuah kementerian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan RM100,000, berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada sebuah syarikat, tahun lepas.

Shahrulzaman Jaafar, 43, yang ketika kejadian merupakan pegawai di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang kini digantung kerja didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM70,000 daripada Hazrul Hisyam Hassan, 46.

Ia sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran, kepada syarikat KIIK Resources Sdn Bhd berjumlah RM37,478,572.55 di tepi jalan berdekatan Hospital Serdang antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari pada 12 Mei 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Shahrulzaman didakwa menerima suapan berjumlah RM30,000 daripada individu sama di hadapan sebuah pasar mini di Taman D’Alpinia, Puchong antara pukul 1 hingga 2 petang pada 21 Sept 2020, sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusoff bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan pendakwa raya.

Rihaida membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Januari lepas, Shahrulzaman mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender yang sama, di Mahkamah Kuala Lumpur.