- Iklan -
Berita

Perbicaraan kes jenayah berkepentingan awam akan diteruskan semasa PKP, kata ketua hakim

Semua perbicaraan dan prosiding jenayah di seluruh negara akan bersambung pada 27 Januari.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Semua perbicaraan dan prosiding jenayah di seluruh negara akan bersambung pada 27 Januari walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sedang dilaksanakan, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, keutamaan seharusnya diberikan kepada kes berkepentingan awam termasuk rasuah, jenayah komersil, alam sekitar, habeas corpus, keganasan rumah tangga dan pelanggaran peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kes-kes pra-2020 dengan keutamaan kepada kes sambung bicara dan kes-kes yang melibatkan pesalah kanak-kanak”.

“Mana-mana kes yang dipohon oleh pihak-pihak untuk dijalankan atas sebab-sebab yang khas dan hal keadaan tertentu,” kata Tengku Maimun dalam pekeliling bertarikh hari ini yang diedarkan kepada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majisret seluruh negara yang dilihat MalaysiaNow.

Semasa menjelaskan berhubung darurat Covid-19 yang diisytiharkan bulan lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berikrar akan memastikan sistem kehakiman negara bebas tanpa campur tangan kerajaan.

Antara kes-kes melibatkan kepentingan awam yang bakal diteruskan perbicaraannya pada bulan ini melibatkan bekas timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi pada 27 Januari depan.

Zahid, 68, yang juga presiden Umno berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sementara bulan depan, perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan RM2.3 bilion akan bersambung pada 18 Februari dan kes meminda laporan audit 1MDB melibatkan ahli Parlimen Pekan itu dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy akan bersambung pada 22 Februari.

Pada 8 Jun, kes projek terowong bawah laut melibatkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan bermula.

MalaysiaNow melaporkan hari ini peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla mencadangkan penubuhan mahkamah khas semasa darurat untuk mempercepatkan kes-kes melibatkan ahli politik.

Katanya, dengan kuasa darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh mewujudkan undang-undang khas untuk menentukan kesemua keputusan kes-kes jenayah melibatkan ahli politik diadakan di mahkamah khas sehingga selesai.

Dalam pekeliling yang diedarkan hari ini, Tengku Maimun bagaimanapun berkata, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menentukan mana-mana kes yang akan dijalankan di mahkamah terbuka semasa PKP.