Tuesday, May 18, 2021

Hanya 50 jemaah dibenarkan solat Jumaat di Kedah

Jumlah itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Other News

Pelaksanaan solat Jumaat di Kedah hanya dibenarkan dengan maksimum 50 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa di negeri itu mulai Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (Jheaik) Mohd Yusri Md Daud berkata bagi solat fardu pula, hanya lima pegawai atau ahli jawatankuasa masjid dan surau dibenarkan mendirikan solat secara berjemaah.

“Jawatankuasa masjid serta surau bertanggungjawab membuat ketetapan bersesuaian berkaitan pemilihan ahli kariah yang dibenarkan serta hal ehwal pengurusan jemaah dalam memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Beliau berkata individu berusia 12 tahun ke bawah serta mereka yang tidak memakai pelitup muka atau tidak membawa sejadah sendiri tidak boleh dibenarkan memasuki premis masjid atau surau.

Solat Jumaat tidak harus melebihi 45 minit bermula dari azan hingga selesai solat, sementara solat fardu pula diselesaikan dalam tempoh 20 minit, katanya.

Program keagamaan dan majlis ilmu serta aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti kenduri dan gotong-royong juga tidak dibenarkan.

“Pengurusan jenazah (bukan Covid-19) dan solat jenazah di masjid adalah dibenarkan dan tidak melebihi 20 orang dengan penjarakan fizikal, terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga si mati sahaja,” katanya.

Menurutnya, masjid atau surau yang melanggar atau tidak mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan, dan kebenaran melaksanakan aktiviti yang dinyatakan boleh ditarik balik serta-merta.

Dalam pada itu, perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) dan semua majlis akad nikah di seluruh negeri ini ditangguhkan bermula 22 Januari ini hingga tamat PKP.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles