Sunday, November 28, 2021

Beribu murid mula sekolah di rumah dengan masalah sama

Masalah berkaitan tumpuan pelajar serta kekurangan peralatan dan infrastruktur internet menjadi halangan terbesar.

Other News

Berpuluh ribu murid hari ini memulakan sesi persekolahan mereka melalui pembelajaran dalam talian, selepas lebih dua bulan sekolah terpaksa ditutup berikutan lonjakan kes Covid-19 yang tinggi.

Murid sekolah rendah dan menengah hingga Tingkatan 3 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), manakala Tingkatan 5 serta 6 akan bersekolah secara fizikal.

Kaedah pembelajaran dalam talian masih menghadapi beberapa isu, dan satu kajian mengatakan masalah berkaitan tumpuan pelajar serta kekurangan peralatan dan infrastruktur internet antara dua halangan terbesar.

Kajian yang dijalankan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati kehadiran murid berada pada paras di bawah 80%.

Ramai juga dalam kalangan murid tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran disebabkan suasana di rumah yang tidak kondusif.

Kajian itu juga mendapati kira-kira separuh daripada guru tidak selesa dalam menggendalikan kelas secara dalam talian.

Dikatakan hanya 50-60% guru mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat bagi mengendalikan kelas dalam talian.

Pengerusi Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan UKM Azlin Norhaini Mansor yang mengetuai kajian itu memberitahu Bernama, kaedah pengajaran dalam talian kurang berkesan kerana kurang selari dengan tahap kebolehan dan pembelajaran murid.

Katanya, walaupun mempunyai peralatan yang mencukupi dan akses internet yang baik, guru, murid dan ibu bapa menghadapi kekangan dan kesukaran dalam melaksanakan pembelajaran secara dalam talian.

“Murid sukar memahami apa yang diajar kepada kereka secara dalam talian disebabkan masalah komunikasi sehala…mereka sukar untuk bertanyakan soalan atau meminta penjelasan.

“Dalam keadaan itu, ibu bapa mereka perlu mengajar dan bantu mereka untuk menyiapkan latihan,” katanya kepada Bernama.

Kebanyakan ibu bapa tidak mampu menolong kerana mereka juga bekerja dari rumah disebabkan perintah kawalan pergerakan.

Azlin menyeru supaya mewujudkan sekolah maya menggunakan saluran media seperti televisyen, radio dan juga Netflix serta Astro untuk menyiarkan pembelajaran.

“Guru-guru boleh membuat jadual mengajar dua subjek selama empat jam sehari,” katanya, dan menambah jika melebihi tempoh itu, murid akan hilang fokus dan terpaksa mengadap skrin komputer terlalu lama.

Presiden Majlis Permufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan menyambut baik pembelajaran secara dalam talian, dengan menyatakan ia merupakan kaedah pembelajaran terbaik berdasarkan situasi semasa.

Katanya, salah satu isu yang perlu ditangani adalah akses kepada internet di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Apa yang diperlukan oleh murid untuk membantu pembelajaran PdPR adalah sesi yang komprehensif dan e-bukupanduan. Pemantauan dan penilaian yang berkesan (murid) turut diperlukan. Kekangan ini perlu diambil tindakan oleh pihak berwajib secara sistematik,” katanya kepada Bernama.

Ali turut mencadangan penubuhan pusat rujukan PdPR di setiap pejabat pendidikan daerah dan negeri untuk menangani masalah berkaitan kelas secara dalam talian.

“Seorang pegawai khas perlu dilantik bagi menyelaras dan merancang PdPR bukan hanya untuk tempoh ini tetapi juga selepas pandemik berakhir,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles