- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Rahman positif Covid-19

Tajuddin merupakan kontak rapat kepada Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz yang turut disahkan positif virus itu semalam.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman disahkan positif Covid-19 pagi ini selepas menjalani ujian saringan semalam.

Tajuddin yang dihubungi MalaysiaNow berkata beliau tidak mengalami sebarang simptom.

“Saya tak demam, batuk dan selesema,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambahnya, beliau kini menjalani pengasingan diri di rumah dan semua ahli keluarganya turut menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini.

“Saya sedang kuarantin di rumah, semua ahli keluarga termasuk cucu saya kena buat ujian saringan,” katanya.

Tajuddin menjadi kontak rapat kepada Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang turut disahkan positif Covid-19 semalam.

Kedua-dua mereka menghadiri satu sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.

Tajuddin berkata, beliau mengesyaki dijangkiti virus itu daripada bekas setiausaha Umno Bandar Tun Razak Zaharin Mohd Yasin yang juga merupakan seorang penulis blog yang disahkan positif beberapa hari sebelumnya.

Semalam Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique turut disahkan positif Covid-19.