- Iklan -
Berita

3 lagi saksi dipanggil sebelum kes Syed Saddiq-Papagomo ditutup

Mahkamah telah menetapkan tarikh baru sambung bicara pada 2 dan 3 Mac depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama
Ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes blogger Papagomo yang didakwa mengaibkan dan mencederakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Majistret Kajang, dijangka memanggil tiga lagi saksi untuk memberi keterangan sebelum menutup kesnya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin berkata setakat ini, lapan saksi telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli itu.

“Lapan saksi pendakwaan yang telah selesai memberikan keterangan termasuklah pihak polis dan Syed Saddiq, 29, yang merupakan saksi keempat, yang mana beliau telah selesai memberi keterangan pada 30 Januari tahun lepas,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai perkembangan kes itu hari ini.

Muhammad Hairuliqram berkata perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan bersambung pada 25 Januari ini ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya mahkamah telah menetapkan tarikh baru sambung bicara pada 2 dan 3 Mac depan.

Papagomo, nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 38, menghadapi pertuduhan mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut  “kau bodoh” di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pada 11.05 pagi, 16 Februari 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga exco Pemuda Umno, turut didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu di bahagian leher dan bahu, di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.