- Iklan -
Berita

PKP seluruh negara kecuali Sarawak, berkuat kuasa Jumaat ini

Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan negeri terbaru dilaksanakan PKP.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, berikutan pelaksanaan PKP.
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, berikutan pelaksanaan PKP.

Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan mulai 12.01 tengah malam, Jumaat ini hingga 4 Februari, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Sarawak satu-satunya negeri yang tidak dikenakan PKP.

Katanya keputusan itu dibuat setelah terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dalam komuniti di enam negeri tersebut.

“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan) kerajaan bersetuju supaya PKP dilaksanakan di negeri-negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP, di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula 13 hingga 26 Januari

Ia kemudian diikuti pengumuman PKP di seluruh negeri Kelantan dan beberapa daerah di Sarawak termasuk Sibu, Selangau dan Kanowit dari 16 hingga 29 Januari.