Wednesday, May 12, 2021

Mahkamah tiada kuasa dengar permohonan cabar darurat, kata peguam

Ia berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 150 (8)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Other News

Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan bagi mencabar proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, kata peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata ini adalah berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 150 (8)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150(8)(b) memperuntukkan bahawa “tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan proklamasi darurat.”

Haniff Khatri berkata permohonan cabaran itu sepatutnya ditumpukan kepada “nasihat” perdana menteri dan bukan terhadap proklamasi darurat.

“Bagi saya, secara jujur, peruntukan sedemikian (Perkara 150 (8)) akan menjadikan permohonan itu amat sukar dilayan oleh mahkamah, meskipun jika anda mencabar nasihat yang diberikan (perdana menteri), kerana mahkamah akan memutuskan bahawa jika kami mendengar permohonan ini, secara tidak langsung kami melayan permohonan bagi mencabar Proklamasi Darurat.

“Situasi mengenai perkara ini tidak jelas kerana belum terdapat kes dari segi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu,  Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Profesor Shamrahayu Abdul Aziz berkata proklamasi itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong berpuas hati, oleh itu tidak ada alasan yang membenarkan sebarang permohonan dibuat kepada mahkamah berhubung kesahannya.

“Sesetengah peguam mungkin berhujah bahawa terdapat niat tidak baik, saya tidak rasa ini adalah alasan yang kukuh kerana peruntukan (perlembagaan) menyebut bahawa apa pun sebabnya, tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan proklamasi darurat,” katanya.

Pada 12 Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mengisytiharkan darurat yang akan dikuat kuasa sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif bagi membendung pandemik Covid-19 yang semakin memburuk di Malaysia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles