- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Umno selar Ahmad Maslan kerana tak faham Perlembagaan

Annuar Musa menjawab surat Ahmad Maslan yang menggesa ahli-ahli Parlimen Umno mendesak sidang Parlimen semasa darurat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa dan Setiausaha Agung Ahmad MaslanUmno.
Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa dan Setiausaha Agung Ahmad MaslanUmno.

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa menyelar setiausaha agung Umno kerana memohon Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa darurat untuk mengadakan sidang Parlimen, mengatakan ia bukan sahaja menunjukkan ketidakfahaman kepada Perlembagaan tetapi percubaan menyokong usaha pemimpin pembangkang mencabar pengisytiharan darurat.

Ini merupakan respons Annuar selepas pekeliling dikeluarkan Ahmad Maslan kepada ahli-ahli Parlimen Umno, menggesa mereka menyokong gesaan meminta Agong mengadakan sidang Parlimen dengan memetik Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi Annuar berkata, Ahmad tidak memahami peruntukan itu, mengatakan sidang Parlimen hanya untuk mengesahkan apa-apa undang-undang yang dibuat secara pengisytiharan semasa darurat.

“YB Datuk Seri seharusnya faham, setelah proklamasi dibuat di bawah perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak lagi bersidang. Parlimen hanya boleh bersidang selepas tamat tempuh darurat (1hb Ogos 2021) seperti termaktub dalam Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021,” kata Annuar dalam satu surat kepada Ahmad.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata, “kaedah pengisytiharan darurat dan perjalanan legislatif semasa darurat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan cukup jelas”.

“Ahli Parlimen Umno/BN dan ahli Parlimen lain, tidak boleh menggesa Agong membatalkan sesuatu yang dilaksanakan mengikut Perlembagaan. Tiada peruntukan undang-undang untuk ini. Tindakan kita sudah pasti akan gagal,” katanya.

Katanya, tindakan Ahmad mendesak sidang Parlimen tergempar juga bercanggah dengan pendirian parti untuk menerima perkenan Agong untuk pengisytiharan darurat minggu lepas.

“Surat YB Datuk Seri adalah suatu perlanggaran etika berorganisasi, menghina keputusan parti dan boleh ditafsirkan sebagai percubaan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Darurat diisytiharkan pada 12 Januari selepas peningkatan jangkitan Covid-19 secara konsisten, sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di sebahagian besar negara ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim bagaimanapun melancarkan kempen meminta ahli-ahli Parlimen menulis surat kepada Agong untuk membatalkan darurat dan menyiapkan pasukan peguam untuk mencabarnya di mahkamah.

Annuar yang sebelum ini bertelagah Ahmad Zahid Hamidi disebabkan desakan berterusan presiden Umno agar parti itu meninggalkan blok Perikatan Nasional, menggesa Ahmad menarik kembali suratnya, mengatakan ia bercanggah dengan Perlembagaan dan pendirian parti.

“Lebih baik setiausaha agung Umno merujuk kepada pakar Perlembagaan supaya kelihatan lebih cerdik hal undang-undang,” kata Annuar.