- Iklan -
Berita

PKP di Seremban, Port Dickson bermula esok

PKP selama 14 hari itu dilaksanakan berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di Port Dickson secara mendadak dalam tempoh 14 hari. Gambar: Bernama
KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di Port Dickson secara mendadak dalam tempoh 14 hari. Gambar: Bernama

Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan selama 14 hari bermula esok berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Memperincikan perkara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan kadar insiden jangkitan di Seremban sangat tinggi dan berlaku peningkatan secara ketara dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 777 kes kepada 876 kes.

“Selain itu, kebanyakan mukim di Seremban juga adalah zon merah iaitu melibatkan tujuh daripada sembilan mukim. Bilangan kes yang dilaporkan dalam masa 14 hari di tujuh mukim dalam lingkungan 56 hingga 283 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara di Port Dickson, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak dalam tempoh 14 hari yang melibatkan beberapa kluster iaitu daripada 35 kepada 167 kes.

Pelaksanaan PKP ini adalah untuk mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan mengawal pergerakan di kedua-kedua daerah itu.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah hari ini.

Katanya, KKM telah melaksanakan 516 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 53 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM turut mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini terkawal dengan kes terakhir direkodkan adalah pada 11 Januari dan tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Mengenai Operasi Benteng pula, pihak berkuasa menahan 33 pendatang tanpa izin dan merampas empat kenderaan darat semalam.