- Iklan -
Berita

Di sebalik kebangkitan Pemuda, Annuar Musa gesa Zahid pimpin Umno hingga hujung penggal

Tempoh penggal Zahid sebagai presiden Umno berakhir pada 2021.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Annuar Musa memegang salinan surat yang didakwa ditulis oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi  dan Najib Razak kepada Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Annuar Musa memegang salinan surat yang didakwa ditulis oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak kepada Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Di sebalik kebangkitan pemimpin Pemuda Umno yang menggesa Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat, bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat, Annuar Musa menggesa agar presiden parti itu diberikan peluang menghabiskan penggalnya.

“Walaupun ada pandangan yang mahukan presiden ‘berehat’,saya merasakan patut beliau diberi peluang menamatkan tempohnya mengikut peraturan.

“Apapun tahun 2021 ini tahun pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Biarlah proses biasa dalam parti berjalan. Sementara itu sama sama berusahalah perbaiki keadaan parti,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu dalam ciapan di Twitter hari ini.

Tempoh penggal Zahid sebagai presiden Umno berakhir pada 2021.

Awal bulan ini Zahid memecat Annuar sebagai setiausaha agung BN dan menggantikannya dengan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Pada Oktober, MalaysiaNow mendedahkan Zahid bersama-sama dengan bekas presiden Umno, Najib Razak secara bersama menulis surat kepada yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Pada sidang media bagi menjelaskan pemecatannya, Annuar mengesahkan kewujudan surat Zahid dan Najib yang didedahkan MalaysiaNow.

Minggu lepas pemimpin Pemuda Umno dari Johor dan Negeri Sembilan mendesak Zahid berundur secara terhormat dan memberikan laluan kepada golongan muda dalam parti itu.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Pontian Helmi Buang dan Ketua Pemuda Bahagian Seremban Zool Amali Hussin secara terbuka menggesa Zahid disingkirkan, langkah yang dilihat sebagai penentangan terhadap tindakan presiden parti itu kerana menyokong Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sabtu lepas, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, Umno bukan sahaja perlu dirombak, tetapi pimpinan tertinggi juga perlu diterima kedua-dua ahli dan rakyat.

“Umno perlu ‘total revamp’. Umno perlukan pasukan ‘Avengers’, pemimpin yang bukan hanya diterima oleh ahli tetapi diterima oleh rakyat,” katanya.