Friday, August 6, 2021

Mangsa banjir di Sabah meningkat, Pahang, Sarawak beransur pulih

Setakat 8 pagi ini di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 176 orang berbanding 122 orang malam tadi.

Other News

Jumlah mangsa banjir di Sabah yang dipindahkan kembali meningkat pagi ini, sementara mangsa di Johor kekal manakala di Pahang dan Sarawak banjir terus beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa, sejak semalam.

Di Sabah, daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran dan Papar menjadi daerah teraru dilanda banjir pagi ini, selain Pitas, Beaufort dan Paitan yang dilanda banjir sebelum ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat 8 pagi ini jumlah mangsa banjir meningkat kepada 176 orang berbanding 122 orang malam tadi yang dipindahkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri.

Di lima daerah terbaru dilanda banjir itu, 39 mangsa banjir dipindahkan di Kota Kinabalu, Penampang (11) dan Putatan (4) manakala tiada mangsa banjir dipindahkan di Tuaran dan Papar.

“Hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan paras air mula meningkat di daerah terbabit, walaupun tiada mangsa banjir dipindahkan air banjir didapati sedalam 3.03 meter di Tuaran dan 4.89 meter di Papar pada tahap berjaga-jaga dan waspada,” katanya.

Di Pahang, banjir yang semakin surut menyaksikan jumlah mangsa turut berkurangan menjadi 4,219 orang daripada 1,192 keluarga di 52 PPS melibatkan lima daerah.

Setakat 7.30 pagi ini, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan daerah Pekan masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,620 orang diikuti Kuantan (777), Maran (766), Bera (54) dan Temerloh (dua).

Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan air Sungai Pahang @Paloh Inai, Pekan masih melebihi paras bahaya.

Sementara di Sarawak, susulan cuaca bertambah baik, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus berkurangan dengan 1,870 orang pagi ini berbanding 3,780 mangsa petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya memaklumkan sebanyak 16 PPS masih lagi beroperasi di tiga daerah dengan Serian terus mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 1,088 orang di 10 PPS, diikuti Kuching (775 orang di lima PPS) dan Miri (tujuh orang di satu PPS).

Banjir di Johor bagaimanapun tidak berubah pagi ini, dengan jumlah mangsa banjir kekal 93 orang melibatkan 23 keluarga yang ditempatkan di dua PSS, masing-masing di Segamat dan Batu Pahat.

Keadaan itu berikutan terdapat banjir termenung di dua kawasan di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata 76 orang daripada 20 keluarga melibatkan penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Segamat berada di PPS Sekolah Agama Gemereh.

Di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Bunut, Parit Raja, Batu Pahat pula menempatkan 17 orang daripada tiga keluarga yang merupakan penduduk Kampung Talang Bunut, Parit Raja.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles