- Iklan -
Berita

Jumlah kematian Covid-19 melepasi angka 600

3,339 kes baru, 2,676 dilaporkan sembuh.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan di Jalan Tuaku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Jalan itu kelihatan lengang selepas Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan.
Seorang pekerja dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan di Jalan Tuaku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Jalan itu kelihatan lengang selepas Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan.

Sebanyak 3,339 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk 15 jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 158,434, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 2,676 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 120,051 kes.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,314 kes diikuti Sabah 393 dan Johor 362 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 37,782.

“Daripada jumlah itu 240 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 93 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat tujuh lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 601 orang.

Tambahnya terdapat 10 lagi kluster baru dikesan.

“Masing-masing dua kluster dilaporkan di Selangor (Kluster Jalan Pandan Indah, Kluster DTI Sepang 2 ); Sabah (Kluster Taman Ikan Jinak, Kluster Jalan Mawila)  dan Kuala Lumpur (Kluster Jalan Menerung, Kluster Tapak Bina Jalan Yap),” katanya.

Baki empat lagi kluster membabitkan Kluster Jalan Perak di Johor (35 kes), Kluster Rantau Lada di Pahang (19 kes), Kluster Pantai Peringgit di Melaka (24 kes) dan Kluster Jalan Mohammed Salleh di Labuan (12 kes)