- Iklan -
Berita

Darurat bukan sampai ‘kiamat’, kata ahli Dewan Negara

Semalam buat pertama kalinya jangkitan harian Covid-19 melepasi angka 4,000 yang merupakan tertinggi setakat ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Muhammad Zahid Mat Arip ketika mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara tahun lalu. Gambar: Facebook
Muhammad Zahid Mat Arip ketika mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Negara tahun lalu. Gambar: Facebook

Seorang ahli Dewan Negara mempertahankan pengisytiharan darurat oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi mengekang penularan wabak Covid-19, mengatakan ia akan ditamatkan selepas pandemik yang menyaksikan jangkitan tertinggi semalam berakhir.

Muhammad Zahid Md Arip berkata, tindakan kerajaan menasihatkan Agong agar darurat Covid-19 dilaksanakan adalah demi kebaikan rakyat dan negara.

“Proklamasi darurat bukan untuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ‘beraja di mata, bersultan di hati’, proklamasi ini ada tempohnya bukan sehingga kiamat,” kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

“Mereka yang cemburu kepada Muhyiddin akan sentiasa ‘buta dan pekak’ dari melihat dan mendengar usaha dan kesungguhannya menangani tempoh sukar ini”.

Semalam buat pertama kalinya jangkitan harian Covid-19 melepasi angka 4,000 yang merupakan tertinggi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 4,029 kes baru Covid-19 dikesan semalam menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 155,095.

Awal minggu ini, Agong memperkenankan pengisytiharan darurat Covid-19 sehingga 1 Ogos depan bagi membendung wabak itu selepas angka harian empat angka secara konsisten sejak Disember lalu.

Sehari sebelum itu kerajaan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri zon merah Covid-19 di seluruh negara.

Pembangkang menyelar pengisytiharan darurat Covid-19, mengatakan PKP sudah mencukupi untuk mengawal pandemik.

Bagaimanapun bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram berkata, PKP hanya akan berkesan jika dilaksanakan sekali dengan pengisytiharan darurat.

“Beliau meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaannya ketika musuh politiknya begitu ghairah untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpinnya,” katanya dan menambah, “sampai masanya nanti proklamasi darurat ini akan berakhir juga”.

Zahid yang juga antara pengasas awal Bersatu berkata, Muhyiddin berjaya memperlihatkan keupayaan menerajui kepimpinan negara ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Ketika ekonomi di seluruh dunia merudum, bantuan kepada rakyat dari pelbagai kelompok tidak pernah diabaikan.