- Iklan -
Berita

Ahli ekonomi ajar cara untuk ‘pecahkan’ kartel berasaskan kaum

Kawalan ke atas rantaian bekalan hanya sebahagian daripada gambaran besar, kata Barjoyai Bardai

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Jika diberi maklumat yang cukup pengguna mampu menentukan jatuh dan bangun kartel.
Jika diberi maklumat yang cukup pengguna mampu menentukan jatuh dan bangun kartel.

Walaupun hidup dan mati kartel berasaskan kaum di negara ini adalah dengan mengawal sepenuhnya rantaian bekalan, tapi sebenarnya kumpulan terakhir iaitu pengguna merupakan penentu nasib mereka, kata seorang ahli ekonomi.

Rantaian bekalan merujuk kepada rangkaian individu, organisasi, sumber, aktiviti dan teknologi yang terlibat dalam proses pengeluaran dan pengedaran sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pengguna.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan kawalan ke atas rangkaian itu sangat penting untuk operasi kartel, atau perniagaan bebas yang saling bekerjasama sehingga berlaku monopoli dalam pasaran.

Tetapi Barjoyai Bardai mengatakan ia bermula dengan sikap pengguna itu sendiri yang dilihat lebih gemar “berkompromi” dalam perkara melibatkan kartel.

“Pengguna di negara ini sangat pasif, dan mereka sudah lama bertolak ansur dalam hal ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kebanyakan mereka sangat bertolak ansur terhadap barang dan perkhidmatan yang digunakan,” tambahnya, dengan mengaitkannya dengan kekurangan kesedaran untuk mengambil tahu dari mana asal usul produk tersebut.

Ini menjadi satu masalah apabila rantaian bekalan tidak terbuka atau telus.

Tetapi Barjoyai Bardai mengatakan ia bermula dengan sikap pengguna itu sendiri yang dilihat lebih gemar “berkompromi” dalam perkara melibatkan kartel.

Tetapi jika diberikan kesedaran yang mencukupi mengenai apa yang berlaku, pengguna mampu menentukan jatuh dan bangun kartel.

Barjoyai mengambil contoh pasar daging di United Kingdom pada 1970-an.

Ketika itu, katanya kebanyakan komuniti Pakistan menjalankan perniagaan peruncitan, sama ada membuka kedai runcit atau menjual produk segar.

Selepas 20 tahun, mereka berjaya menguasai seluruh pasaran daging, membentuk kartel mereka sendiri walaupun merupakan kumpulan minoriti.

Perkara seperti itu mungkin boleh terjadi apabila pengguna tidak lagi bertoleransi dengan kartel sedia ada, katanya.

Suhaiza Hanim Mohamad Zailani, seorang profesor di Universiti Malaya berkata, pemilik perniagaan mungkin dapat membantu menghalang layanan istimewa berpunca daripada hubungan masyarakat dengan menilai pembekal berpontensi.

“Jika anda mempunyai banyak pilihan pembekal berpontensi, buat penilaian berdasarkan senarai yang anda mahu dan berikan mereka rating,” katanya.

“Senarai itu mesti berdasarkan kepada kemahiran mereka, nilai tambah perkhidmatan dan produk, dan lain-lain.”

Nasihatnya kepada pemilik perniagaan, carilah rakan kongsi yang berkongsi objektif sama.

“Mereka patut memberikan nilai tambah dan membuatkan produk anda kompetitif dalam pasaran, dan memenuhi kepuasan pelanggan.”

Kegagalan dalam melaksanakannya boleh menyebabkan masalah kepada pengeluaran dan kehilangan pelanggan, katanya.

Katanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Melayu dan Bumiputera jauh ketinggalan kerana mereka tidak kompeten dalam inovasi dan sumber, teknologi dan kreativiti.

“Ini adalah kelemahan dan sebab mengapa mereka tidak berkembang selama ini.”

Barjoyai bersetuju peniaga Melayu gagal menembusi pasaran borong kerana disebabkan kelemahan mencari hubungan yang betul.

“Namun, mereka kini lebih baik,” katanya, dan menambah bahawa perniagaan peruncitan juga sedang berkembang disebabkan pemilikan oleh syarikat multinasional.

Tetapi ia bukan bermaksud pengakhiran kepada kartel berasaskan kaum, katanya dan menggesa supaya kerajaan memandang serius mengenai isu ini.

Katanya, kerajaan juga mempunyai peranan penting dalam memantau sistem pasaran bebas dan perlu memastikan setiap perniagaan dijalankan dengan adil dan efisien.

“Ketika ini, pengguna memprotes kerana kerajaan tidak memantau pasaran dengan baik.”