- Iklan -
Berita

Salleh Abas, watak utama krisis kehakiman 1988 meninggal dunia

Salleh dipecat sebagai ketua hakim negara selepas mengkritik perdana menteri pada ketika itu, Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan campurtangan dalam badan kehakiman.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua hakim negara Mohamed Salleh Abas. Gambar: Bernama
Bekas ketua hakim negara Mohamed Salleh Abas. Gambar: Bernama

Bekas ketua hakim negara, Mohamed Salleh Abas yang menjadi watak utama dalam krisis kehakiman 1998 sehingga dipecat daripada jawatannya meninggal dunia, sehari selepas disahkan positif Covid-19.

Salleh yang berumur 91 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.20 pagi ini, selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, mengesahkan berita dukacita tersebut.

“Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

Salleh sebelum itu sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan selepas dijangkiti virus itu.

Salleh mengambil alih jawatan ketua hakim negara daripada Almarhum Sultan Azlan Shah pada tahun 1984, yang terpaksa meletak jawatan untuk menaiki takhta sebagai Sultan Perak.

Pemecatan Salleh dilakukan selepas beliau mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan campurtangan dalam badan kehakiman negara dengan melakukan pindaan bagi menghadkan kuasa.

Mahathir dikatakan tidak berpuas hati dengan badan kehakiman selepas mengharamkan Umno, berikutan saman yang dikemukakan oleh penyokong Tengku Razaleigh Hamzah selepas kalah tipis untuk merebut jawatan presiden Umno kepada Mahathir setahun sebelumnya.

Pada 1988, Salleh dihadapkan ke mahkamah timbang tara oleh Mahathir atas tuduhan salah laku, yang akhirnya menyaksikan pemecatan ketua hakim negara ini, sehingga menyebabkan kecaman antarabangsa.

Salleh muncul kembali di khalayak ramai beberapa tahun kemudian dengan menjadi calon Pilihan Raya Umum 1995 bersama Semangat 46 di Lembah Pantai, tetapi kalah.

Pada 1999, beliau sekali lagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Terengganu di bawah tiket PAS, dan menang.

Anak Allahyarham, Natlrah ketika dihubungi Bernama mengesahkan Salleh meninggal dunia akibat pneumonia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.