- Iklan -
Berita

Kes Covid-19 melepasi angka 4,000, tertinggi setakat ini

8 lagi kematian turut dilaporkan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga asing melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Laurent Bleu USCI di Taman Connaught, Cheras.
Seorang warga asing melakukan ujian saringan Covid-19 di Klinik Laurent Bleu USCI di Taman Connaught, Cheras.

Sebanyak 4,029 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk lapan jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 155,095, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 2,148 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 117,375 kes.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,466 kes atau 36.4% diikuti Johor 719 (17.8%) dan Sabah 449 kes (11.1%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 37,126.

“Daripada jumlah itu 205 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 79 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat lapan lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 594 orang.

“Empat kes kematian dilaporkan di Sabah dan masing-masing satu di Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Pahang,” katanya.

Tambahnya terdapat enam lagi kluster baru dikesan.

“Tiga kluster dilaporkan Johor melibatkan Kluster Senai Cyber (114 kes), Kluster Tembok Nanas (41 kes), Kluster Jalan Sembrong (18 kes),” katanya.

Baki tiga lagi kluster membabitkan Kluster Jalan Permata di Negeri Sembilan (61 kes), Kluster Taman Juta di Perak (14 kes) dan Kluster Kampung Lebu di Pahang (21 kes).