- Iklan -
Berita

Katil PKRC Maeps masih mencukupi walaupun kes Covid-19 terus meningkat

Lebih 5,000 kapasiti katil masih belum digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan para pekerja sedang memasang katil pesakit di dalam sebuah dewan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps). Gambar: Bernama
Kelihatan para pekerja sedang memasang katil pesakit di dalam sebuah dewan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps). Gambar: Bernama

Bilangan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) masih mencukupi meskipun lonjakan kes positif wabak berkenaan terus mencecah empat angka sejak sebulan lalu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, setakat hari ini terdapat 2,579 pesakit ditempatkan di pusat rawatan berkenaan sementara kapasiti penuh penggunaan katil sebanyak 8,000 unit.

“Kapasiti masih cukup, masih ada 5,421 katil yang belum dipenuhi,” kata jurucakap Nadma Nur Daliza Dohat kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, PKRC Maeps di Serdang mempunyai lima dewan untuk memuatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 dengan tiga dewan bagi menempatkan individu bukan warganegara Malasyia.

Antara lima dewan tersebut, kapasiti katil terbanyak ditempatkan di Dewan A dengan 2,960 katil, namun sebanyak 796 unit digunakan setakat ini.

Manakala Dewan B (1,220 kapasiti katil, 620 sedang digunakan), Dewan C (1,016 kapasiti katil, 697 sedang digunalan katil), Dewan DG (800, 24 sedang digunakan) dan Dewan E (2,004 kapasiti katil, 442 sedang digunakan).

Daliza berkata, jumlah pesakit di PKRC Maeps akan dikemaskini setiap hari selepas jam 12 tengah malam.

Semalam MalaysiaNow melaporkan Putrajaya sedang berada dalam perbincangan bersama wakil hospital swasta bagi membolehkan mereka merawat pesakit Covid-19 selepas sistem kesihatan awam berada dalam keadaan kritikal disebabkan lonjakan kes positif wabak berkenaan.

Ini menyebabkan fasiliti kesihatan kerajaan beroperasi melebihi kemampuan mereka.

Difahamkan juga, hospital swasta akan membenarkan 10% daripada kemudahan yang dimiliki untuk digunakan bagi merawat pesakit Covid-19.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Dr Kuljit Singh tidak dapat mengesahkan perkara tersebut, tetapi mengatakan mereka sedang melakukan persediaan walaupun terdapat kekangan untuk menguruskan rawatan kes Covid-19.

Sehingga kini, lebih 151,066 orang sudah disahkan positif wabak berkenaan di Malaysia dengan lapan kes kematian terbaru menjadikan angka korban keseluruhan mencecah 586 mangsa.

MalaysiaNow masih mencuba mendapatkan data terkini penggunaan kapasiti katil dan peralatan di wad hospital bagi kategori 3 dan 4 dan ulasan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.