- Iklan -
Berita

Jenazah Salleh Abas selamat dikebumikan

Proses pengebumian dikendalikan kira-kira 10 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan anggota bomba mengusung jenazah bekas ketua hakim negara, Allahyarham Salleh Abas untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu. Gambar: Bernama
Petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan anggota bomba mengusung jenazah bekas ketua hakim negara, Allahyarham Salleh Abas untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, Kuala Terengganu. Gambar: Bernama

Jenazah bekas ketua hakim negara Mohamed Salleh Abas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, di sini pukul 10.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Salleh, 91, yang juga pengerusi as-Salihin Trustee Berhad tiba di tanah perkuburan tersebut pada pukul 10.15 pagi dan proses pengebumian dikendalikan kira-kira 10 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Bagaimanapun, ahli keluarga dan pihak media tidak dibenarkan untuk berada di dalam kawasan perkuburan tersebut.

Wan Pauzi Yahya berkata bapa mentuanya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini Khamis lepas, setelah didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada 3.20 pagi tadi, akibat pneumonia.

“Ketika berada di hospital, kami anak dan menantu masih dapat bercakap dengan Allahyarham dan beliau belum lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kami juga diberitahu Allahyarham mempunyai masalah pernafasan, tekanan darah rendah dan pelbagai masalah lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan pengebumian, di sini hari ini.

Wan Pauzi berkata bapa mertuanya itu terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan malam tadi.

Allahyarham Salleh meninggalkan isteri Junaidah Wan Jusoh dan lima anak serta 26 cucu.

Pada 1984, Salleh dilantik menjadi ketua hakim negara di Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan), sebelum dipecat semasa krisis Perlembagaan pada 1988.

Allahyarham juga merupakan seorang daripada tokoh yang membantu menderaf Rukun Negara pada 1970.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 pada 1999, Allahyarham menang atas tiket PAS di Dewan Undangan Negeri Jertih, bagaimanapun atas faktor kesihatan Salleh tidak bertanding pada PRU ke 11 pada 2004.