- Iklan -
Berita

Putrajaya dijangka umum penglibatan hospital swasta bagi memerangi Covid-19

Hospital swasta akan membenarkan 10% daripada kemudahan yang dimiliki untuk digunakan bagi merawat pesakit Covid-19.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Hospital swasta akan merawat pesakit Covid-19 ke tahap rawatan rapi. Gambar: Bernama
Hospital swasta akan merawat pesakit Covid-19 ke tahap rawatan rapi. Gambar: Bernama

MalaysiaNow difahamkan wakil hospital swasta akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah esok mengenai rancangan bagi membolehkan mereka merawat pesakit Covid-19.

Difahamkan juga, hospital swasta akan membenarkan 10% daripada kemudahan yang dimiliki untuk digunakan bagi merawat pesakit Covid-19, berikutan lonjakan kes yang memaksa hospital kerajaan beroperasi melebihi kemampuan mereka.

Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), yang mewakili lebih daripada 100 buah hospital seluruh negara ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan perkara tersebut, tetapi mengatakan mereka sedang melakukan persediaan walaupun terdapat kekangan untuk menguruskan rawatan kes Covid-19.

“Tahap penjagaan dan rawatan bergantung kepada saiz sesebuah hospital, kakitangan dan kemudahan,” kata Presiden APHM Dr Kuljit Singh.

Difahamkan, di bawah persefaham baru ini, hospital swasta akan merawat pesakit Covid-19 ke tahap rawatan rapi (ICU), dan hospital kerajaan tidak lagi menerima mereka yang mencapai tahap itu.

Kuljit berkata perincian mengenai penglibatan hospital swasta masih pada peringkat kajian, dan akan diumumkan oleh Noor Hisham.

“Ketika ini kami sedang melakukan persediaan dan bersiap siaga untuk menerima pesakit Covid-19,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau turut memuji usaha yang dijalankan hospital kerajaan setakat ini yang merawat berpuluh-puluh ribu pesakit Covid-19.

Lebih daripada 147,000 penduduk negara ini diuji positif Covid-19 sejak wabak itu mula dikesan awal tahun lalu.

Sehingga semalam, kemudahan hospital kerajaan yang dikhaskan untuk merawat Covid-19 seluruh negara berjumlah 33,000 orang pesakit.

Lonjakan kes pada September memaksa pegawai kanan perubatan kerajaan memberi amaran mengenai kekurangan katil dan peralatan, termasuk juga kakitangan disebabkan beratus-ratus petugas kesihatan sendiri turut dijangkiti virus maut itu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ketika memperincikan butiran darurat minggu ini, berkata pihak berkuasa mungkin akan mewujudkan ordinan baru bagi membolehkan kerajaan mengambil alih aset swasta untuk membantu usaha memerangi Covid-19.

Setakat ini, hospital swata mengatakan mereka bersedia untuk menghulurkan tangan dalam usaha itu walaupun terdapat kekurangan jika dibandingkan dengan kemudahan dimiliki hospital kerajaan.

* Sivanesan Selan turut menyumbang kepada laporan ini.