- Iklan -
Berita

Kuasa darurat boleh digunakan untuk ringankan beban rakyat, kata penganalisis

Darurat dapat membantu rakyat jika kuasa yang diberikan kepada kerajaan digunakan dengan baik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perutusan khas darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada Selasa lalu. Gambar: Bernama
Perutusan khas darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan pada Selasa lalu. Gambar: Bernama

Beberapa penganalisis mengatakan pengisytiharan darurat Covid-19 minggu ini adalah satu berita baik kerana bukan sahaja dapat membantu petugas barisan hadapan memerangi pandemik, tetapi secara tidak langsung juga dapat membantu meringankan beban rakyat yang terkesan jika kuasa lebih besar diberikan kepada pihak berkuasa digunakan dengan baik.

Haniff Khatri Abdulla mengatakan pengisytiharan darurat membolehkan kerajaan menggunakan kuasa Perlembagaan untuk menggubal undang-udang bagi mewajibkan institusi kewangan menangguhkan pembayaran pinjaman.

Katanya dengan cara ini pihak bank dan institusi kewangan bukan hanya perlu menangguhkan terma perjanjian untuk membantu para peminjam yang terkesan teruk akibat krisis ekonomi terburuk abad ini, tetapi turut menghalang mereka daripada menfailkan muflis kepada peminjam yang tidak mampu membayar balik selepas hilang pekerjaan.

Haniff berkata ia adalah satu bentuk “moratorium paksaan” untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Bagi saya, ia akan menampilkan satu keindahan dalam pengistiharan darurat oleh Agong kepada rakyat. Ia akan menimbulkan perasaan puas hati rakyat kepada pengisytiharan ini,” kata peguam kanan yang sering mengkritik kerajaan dengan memberikan pandangan melibatkan undang-undang kepada MalaysiaNow.

Di bawah Perkara 150(7), undang-udang yang digubal sepanjang tempoh darurat tidak boleh dicabar di mahkamah.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika memperincikan butiran darurat minggu ini, memberi jaminan kerajaan awam akan kekal dan aktiviti harian tidak terganggu, mengatakan pihak berkuasa mungkin melaksanakan undang-undang lebih tegas sepanjang tempoh daturat sehingga 1 Ogos, dalam usaha untuk meminimumkan kesan daripada pandemik.

Menurut Haniff enakmen itu boleh terus digubal tanpa melalui proses Parlimen.

Haniff berkata ia adalah satu bentuk “moratorium paksaan” untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Jadi apabila Covid-19 selesai, orang ada ruang untuk bernafas, cari rezeki untuk tampung keluarga. Kemudian baru cari kerja, barulah mereka lebih kukuh untuk bayar bayaran ansuran yang perlu,” katanya.

Pakar ekonomi Madeline Berma bersetuju dengan cadangan itu.

Katanya, bukan sahaja memaksa pihak bank untuk memberikan moratorium, bahkan kerajaan juga boleh membentuk enakmen darurat lain termasuk bagi membolehkan lebih banyak tunai di tangan rakyat seperti pengeluaran program i-Sinar kepada semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat.

i-Sinar merupakan satu inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan pada bulan November lalu, yang membolehkan kira-kira lapan juta pencarum mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP sekiranya mereka dapat membuktikan hilang punca pendapatan.

Madeline mengatakan ekonomi dan krisis kesihatan saling berkait antara satu sama lain.

“Nak melandaikan lengkung Covid-19, kena perkasakan ekonomi. Selagi Covid-19 tidak dilandaikan, ekonomi kita akan terjejas.

“Jadi, jika ditanya adakah darurat baik untuk sektor ekonomi, saya katakan ya,” Madeline memberitahu MalaysiaNow.

Pengkritik membidas kerajaan kerana menggunakan undang-undang darurat, dengan mengatakan ia akan merosakkan imej negara dalam kalangan pelabur.

Semalam, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim melancarkan petisyen meminta ahli Parlimen menulis warkah ke Istana bagi mendesak Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pengisytiharan darurat.

Penganalisis Azmi Hassan mengatakan, dengan kuasa lebih besar untuk menggubal undang-undang yang memberi manfaat kepada rakyat dan persepsi negatif berhubung pengisytiharan darurat boleh diredakan.

Tetapi katanya, manfaat paling utama adalah pilihan raya mengejut dapat dielakkan.

“Kedua, kerajaan dapat memberi tumpuan 100% kepada menguruskan pandemik kerana tekanan politik jadi kendur sedikit,” kata Azmi kepada MalaysiaNow.

Ancaman pilihan raya umum musim pandemik kini terhenti, sekurang-kurangnya sehingga 1 Ogos, dengan proklamasi darurat.

Pada Selasa, Muhyiddin memberi jaminan akan mengadakan pilihan raya umum sebaik sahaja jawatankuasa khas darurat berpuas hati keadaan Covid-19 terkawal.

“Pada waktu itu, terserah kepada rakyat untuk memutuskan kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan melindungi kebajikan anda. Ini adalah komitmen yang akan saya tunaikan,” kata perdana menteri.