- Iklan -
Berita

Jangan guna tentera tangkap orang awam, kata kumpulan hak asasi

Wujud kebimbangan kerana anggota tentera tidak terlatih dalam prosedur menangkap orang awam, kata Lawyers for Liberty.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, semalam.
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, semalam.

Sebuah kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) menyuarakan kebimbangan berhubung pengumuman kerajaan memberi kuasa kepada pihak tentera untuk menangkap dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar perintah kawalan pergerakan, dengan mengatakan ia boleh disalah guna dan melanggar hak kebebasan rakyat.

Koordinator LFL Zaid Malek berkata, kebimbangan mengenai kebenaran membenarkan anggota tentera menangkap orang awam mungkin boleh menyebabkan penggunaan kekerasan secara berlebih, dan lain-lain.

“Anggota tentera dilatih untuk peperangan melibatkan konflik bersenjata melawan musuh asing dan tidak dilatih untuk menangkap orang awam,” katanya.

“Kuasa untuk menangkap orang awam perlu dilakukan oleh pihak polis, yang sememang dilatih untuk tujuan itu. Anggota tentera hanya boleh dikerah bagi membantu polis dalam memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi, seperti yang mereka lakukan sepanjang pelaksanaan PKP tahun lalu.

Pengumuman mengenai kuasa yang diberikan kepada tentera dibuat oleh Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian mengenai Covid-19 semalam.

Zaid dalam satu kenyataan berkata, walaupun Ismail memberi jaminan kuasa yang diberikan itu dibolehkan mengikut “ordinan darurat”, menteri pertahanan itu gagal memberikan butiran lengkap mengenai peraturan tersebut atau menjelaskannya dengan lebih lanjut selepas diumumkan.

“Walaupun boleh, kerajaan perlu ingat bahawa Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan menghadkan enakmen dalam mana-mana ordinan hanya pada keadaan diperlukan untuk digunakan ketika ia diperlukan sahaja,” tambahnya.

Beliau mengambil contoh video yang tular pada Disember lalu yang menunjukkan seorang anggota tentera didakwa mendera pekerja asing kerana melanggar perintah kuarantin.

“Kami tidak mengatakan semua anggota tentera akan bertindak sedemikian rupa, tetapi wujud kebimbangan daripada insiden yang berlaku,” katanya.

“Orang awam bukannya musuh dan perlu ditangani oleh anggota tentera. Pesalah PKP perlu ditangani menggunakan undang-undang yang sesuai oleh anggota polis yang dilatih untuk itu, dan hak mereka akan dilindungi setiap masa.”