- Iklan -
Berita

Abdul Aziz dilantik ketua pengarah baru Jakim

Abdul Aziz dilantik bagi menggantikan Paimuzi Yahya yang meninggal dunia Oktober tahun lepas.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Abdul Aziz Jusoh. Gambar: Maiwp
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Abdul Aziz Jusoh. Gambar: Maiwp

Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Abdul Aziz yang sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan ketua pengarah (operasi) Jakim, dilantik bagi menggantikan Paimuzi Yahya yang meninggal dunia Oktober tahun lepas.

Zulkifli berkata Abdul Aziz dipilih berasaskan justifikasi perkhidmatan beliau di Jakim selama lebih 34 tahun, selain berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam khususnya pentadbiran hal ehwal Islam.

“Beliau juga berintegriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang sepanjang perkhidmatan dan diterima baik oleh rakan strategik utama Jakim dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain), agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga warga Jakim,” katanya.

Beliau berkata Abdul Aziz berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London pada 2003.

Katanya, kerjaya Abdul Aziz dalam perkhidmatan awam bermula sebagai penolong pengarah, bahagian penyelidikan hal ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1986.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau ialah ketua pegawai eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) pada 2018 hingga 2020; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2017 hingga 2018 dan pengarah Jakim cawangan Sarawak (2013-2017).

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan ketua penolong pengarah (Agama), bahagian agama dan kaunseling, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada 2008 hingga 2009; ketua penolong pengarah bahagian penyelidikan, Jakim (2005-2009) serta sebagai pegawai agama, kedutaan besar Malaysia di Tokyo, Jepun pada 1997.

“Dengan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, kerajaan yakin bahawa beliau mampu untuk menerajui Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan.

“Ini bagi menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat,” kata Zulkifli.

Zulkifli berkata adalah menjadi harapan kerajaan agar pelantikan ketua pengarah yang baharu itu dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.

“Saya mewakili pihak kerajaan juga ingin mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada keluarga Allahyarham Paimuzi atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam semasa hayatnya,” katanya.