- Iklan -
Berita

Volkswagen buka pusat alat ganti serantau di Johor

Pemilihan Malaysia dilakukan kerana lokasi yang berpusat dan mempunyai jaringan hubungan yang baik.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor akan menjadi pusat pengedaran komponen alat ganti serantau Volkswagen. Gambar: AFP
Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor akan menjadi pusat pengedaran komponen alat ganti serantau Volkswagen. Gambar: AFP

Pengeluar automotif terkemuka yang berpangkalan di Wolfsburg, Jerman Volkswagen Group menubuhkan pusat pengedaran komponen alat ganti serantau barunya di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan secara bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Volkswagen Group mereka berkata, kemudahan di lokasi strategik itu disasarkan untuk menyediakan rantaian bekalan komponen alat ganti asli yang utuh kepada 21 pasaran di rantau Asia Pasifik.

Menurut kenyataan itu, kemudahan seluas 50,000 meter persegi pusat pengedaran alat ganti itu kini boleh menyimpan lebih banyak komponen berbanding pendahulu dan sekali gus memperluaskan kesediaan jenis dan kepelbagaian komponen.

Terdapat kira-kira 65,000 komponen alat ganti asli jenama kumpulan, Volkswagen Passenger Cars, Audi, SKODA dan Volkswagen Commercial Vehicles.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali, berkata Volkswagen Group menjejaki trend peningkatan penubuhan hab pengedaran serantau dan global di Malaysia oleh syarikat dalam industri seperti automotif, sains hayat dan peranti perubatan, elektrik dan elektronik dan mesin serta peralatan.

Katanya, semua syarikat itu berusaha memanfaatkan lokasi strategik Malaysia serta infrastruktur yang cekap dan boleh dipercayai seperti pelabuhan, lapangan terbang dan institusi kewangan.

Katanya, ini membolehkan mereka meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan kualiti produk dan kepantasan perkhidmatan untuk pelanggan mereka.

“Kesalinghubungan yang kukuh penting dalam membolehkan pelaburan dan modal insan mereka mengalir dengan lebih bebas merentasi sempadan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama itu.

Sementara itu, Ketua Jualan Volkswagen Group Dr Christian Dahlheim, berkata rantau Asia Pasifik menawarkan banyak potensi pertumbuhan bagi Volkswagen Group, terutama membabitkan e-mobiliti.

Katanya, rangkaian produk elektriknya sudah merangkumi model yang sangat menarik seperti Volkswagen ID.3 dan ID.4 serta Audi e-tron yang berkembang pesat.

“Selain kenderaan, prestasi selepas jualan yang mantap adalah kunci untuk kepuasan pelanggan.

“Malaysia menawarkan lokasi yang berpusat dan mempunyai jaringan hubungan yang baik, yang mana sangat sesuai dengan rancangan kami untuk memperluas kehadiran di rantau ini,” katanya.

Kawasan baru itu menawarkan peningkatan kecekapan pengedaran dan proses dan terletak di zon perdagangan bebas dengan sambungan pelabuhan langsung, pemprosesan gudang ditingkatkan sebanyak 15 peratus.

Selain itu, lokasi utama dihubungkan dengan hab udara dan jalan raya, yang membolehkan aliran hab dan logistik yang lebih baik selain pemulihan kargo yang lebih pantas.