- Iklan -
Berita

Kumpulan alam sekitar gesa pertimbang semula pembukaan kilang bateri di Jenjarom

Industri berat dan berasaskan pembuatan bateri tidak sesuai dijalankan di kampung itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa orang penduduk membantah pembukaan kilang bateri di kawasan kampung mereka di Jenjarom, Kuala Langat.
Beberapa orang penduduk membantah pembukaan kilang bateri di kawasan kampung mereka di Jenjarom, Kuala Langat.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Selangor supaya memandang serius bantahan penduduk-penduduk kampung Jenjarom, Kuala Langat terhadap cadangan pengoperasian semula kilang bateri di kawasan itu.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata, meskipun syarikat kilang bateri Federal Power Holdings Sdn Bhd memberi jaminan pihaknya tidak akan membahayakan kesihatan dan mengakibatkan pencemaran, ia bukan alasan kukuh bagi membolehkan syarikat tersebut memulakan operasi.

“Kerajaan negeri dan pihak berkuasa perlu mengambil iktibar membabitkan isu pencemaran yang berlaku sebelum ini yang telah menjejaskan kesihatan dan ketenteraman penduduk dan orang awam,” tulisnya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sebelum ini pernah membatalkan lesen operasi dan mengarahkan kilang bateri Leoch Accupower (M) Sdn Bhd ditempatkan semula di kawasan industri berat.

Ia selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) yang dibuat pada 30 Oktober 2019.

Jelas SAM, keputusan mesyuarat itu membuktikan industri berat dan berasaskan pembuatan bateri tidak sesuai dijalankan di Kampung Jenjarom atau sebarang tapak yang berstatuskan industri kecil dan sederhana.

“Kami berpandangan perkara ini perlu diteliti secara mendalam.

“Ini berikutan aktiviti yang akan dilaksanakan seakan sama dengan aktiviti pembuatan bateri yang diterajui oleh syarikat Leoch Accupower sebelum ini.”

Atas sebab itu, Meenakshi berkata kerajaan negeri serta pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam hal yang membabitkan isu alam sekitar dan pencemaran yang boleh mengancam kesejahteraan rakyat.

“Jangan benarkan industri berat beroperasi di zon industri kecil dan sederhana, serta berhampiran dengan kawasan kediaman dan kemudahan awam seperti sekolah,” katanya.