- Iklan -
Berita

Jangan terburu-buru dengan vaksin China, kata pakar

Malaysia sudah membeli 14 juta dos vaksin CoronaVac, tetapi penggunaannya tertakluk kepada kelulusan NPRA.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
CoronaVac, vaksin yang dibangunkan oleh syarikat Sinovac Biotech dari China. Gambar: AFP
CoronaVac, vaksin yang dibangunkan oleh syarikat Sinovac Biotech dari China. Gambar: AFP

Pihak berkuasa digesa supaya tidak terburu-buru bagi mendapatkan kelulusan regulatori pengunaan vaksin Covid-19 yang dibangunkan syarikat Sinovac Biotech dari China, berikutan satu laporan mendakwa vaksin itu gagal mencapai kadar keberkesanan di Brazil selepas ujian peringkat akhir dilakukan.

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia mengatakan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), yang merupakan badan tunggal diberi kuasa untuk meluluskan vaksin, melakukan ujian klinikal terhadap semua vaksin Covid-19 yang dibeli kerajaan.

Presiden persatuan itu, Dr Zainal Ariffin Omar bagaimanapun berkata keputusan ujian yang dilakukan berbeza mengikut negara.

“Kita perlu teliti tatacara dan hasil kajian secara terperinci kerana hasil yang berbeza di Brazil, Indonesia dan Turki,” kata Zainal kepada MalaysiaNow.

Beberapa laporan mengata CoronaVac, vaksin yang dibangunkan Sinovac, hanya mencapai kadar keberkesanan 50.4% dalam ujian yang dilakukan di Brazil, jauh lebih rendah daripada kelulusan regulatori.

Meskipun melaporkan kadar keberkesanan lebih tinggi iaitu 78% seperti diumumkan oleh Institut Butantan, ia menerima kritikan daripada saintis dan pakar-pakar kesihatan kerana didakwa tidak telus dalam data ujian percubaan yang dilakukan.

Selepas dikritik hebat, institut itu menjelaskan keputusan yang lebih tinggi diperoleh disebabkan sukarelawan mengalami gejala ringan hingga teruk melibatkan kes Covid-19.

“Kita perlu teliti tatacara dan hasil kajian secara terperinci kerana hasil yang berbeza di Brazil, Indonesia dan Turki,” kata Zainal kepada MalaysiaNow.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun mengatakan kadar keberkesanan 50% sudah memadai bagi membolehkan sesuatu vaksin itu digunakan.

Penemuan itu hadir ketika Indonesia sedang melakukan persediaan untuk menginokulasi 1.3 juta petugas kesihatan dengan vaksin CoronaVac Sinovac.

Indonesia merupakan negara pertama di luar China yang menggunakan vaksin itu.

Ujian klinikal yang dijalankan oleh Badan Pengawas Obat dan Makanan Indonesia (BPOM) menunjukkan kadar keberkesanan 65.3%.

Sebagai reaksi segera terhadap laporan mengenai kadar keberkesanan CoronaVac yang rendah, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk memperoleh vaksin bernilai berbilion ringgit untuk lebih 30 juta rakyat negara ini berkata pihak berkuasa akan mengkaji terlebih dahulu data klinikal Sinovac sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pembelian.

“Sekiranya kami tidak berpuas hati dengan keselamatan dan keberkesanan, kami tidak akan meneruskan dengan proses pembelian,” kata Khairy dalam Twitter.

Malaysia menandatangani perjanjian untuk membeli 14 juta dos vaksin CoronaVac, termasuk vaksin Pfizer, yang melaporkan kadar keberkesanan hingga 95%.

Setakat ini, NPRA hanya memberikan kelulusan pengunaan kepada Pfizer.

Zainal berkata adalah amat penting untuk mengetahui keberkesanan dan kesan sampingan sesuatu vaksin.

Katanya NPRA juga perlu melakukan beberapa perbandingan keberkesanan semua vaksin yang dicadangkan supaya tidak merugikan kerajaan.

“Kita harus membenarkan NPRA mengeluarkan penilaian yang paling tepat dan terbaik,” katanya kepada MalaysiaNow.

Malaysia dijangka memulakan program pemvaksinan Covid-19 pada akhir Februari dengan bekalan pertama sebanyak sejuta dos daripada jumlah keseluruhan 12.8 juta vaksin Pfizer.

Kerajaan berkata akan membeli tambahan 12.2 juta dos vaksin yang sama, mencukupi untuk liputan kira-kira 40% penduduk negara ini.

Malaysia juga menandatangani perjanjian dengan syarikat AstraZeneca untuk 6.4 juta dos, dan jumlah yang sama diperoleh daripada program kolaborasi vaksin global WHO, Covax.