- Iklan -
Berita

Covid-19 terus catat rekod tertinggi, 3,337 kes baru, 15 lagi kematian dilaporkan

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 33,989.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis dari Balai Dang Wangi melihat surat kebenaran ketika sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang.
Anggota polis dari Balai Dang Wangi melihat surat kebenaran ketika sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang.

Sebanyak 3,337 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk tujuh jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 147,855 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,710 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 113,288 kes atau 76.6%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,036 kes, diikuti Johor 460 dan Sabah 389 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham memaklumkan terdapat 15 lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 578 orang.

“Lapan kematian dilaporkan Sabah, tiga di Selangor, dua di Johor dan masing-masing satu di Putrajaya dan Negeri Sembilan,” katanya.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 33,989.

“Daripada jumlah itu 195 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 86 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham berkata terdapat tujuh lagi kluster baru dikesan.

“Dua kluster dilaporkan di Johor membabitkan Kluster Tropika (55 kes) dan Kluster Pasir Barat (92 kes),” katanya.

Tambahnya, Kuala Lumpur turut merekodkan dua kluster baru iaitu Kluster Tapak Bina Dutamas (18 kes) dan Kluster Jalan Pahang (6 kes).

Baki tiga lagi kluster melibatkan Kluster Jalan Selayang di Selangor (84 kes), Kluster Jalan Rantau-Siliau di Negeri Sembilan (96 kes) dan Kluster Intan Mas di Perak (15 kes).