- Iklan -
Berita

Proham gesa Putrajaya lindung hak asasi manusia sepanjang tempoh darurat

Beberapa cadangan alternatif dikemukakan termasuk memberi peranan yang lebih besar kepada Suhakam untuk mendengar keluhan rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Proham menyeru agar aktiviti Parlimen dapat diteruskan dengan mewujudkan Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti (APPGM).
Proham menyeru agar aktiviti Parlimen dapat diteruskan dengan mewujudkan Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti (APPGM).

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Putrajaya supaya melindungi hak asasi rakyat negara ini dan sistem demokrasi sepanjang tempoh darurat dikuatkuasakan.

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) mengatakan walaupun menyedari keadaan pandemik Covid-19 dalam negara sangat parah yang memerlukan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi tetap meluahkan rasa bimbang terhadap penggantungan Parlimen.

Proham berkata, penggantungan itu boleh menyebabkan berlakunya penindasan hak-hak demokrasi terutama dalam soal semak dan imbang.

“Kami mendesak kerajaan untuk memberikan perincian mengenai pengumuman penubuhan panel bebas untuk meninjau keadaan darurat.

“Ia harus terdiri daripada ahli Parlimen berdasarkan perwakilan politik semasa,” kata Proham dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Proham menyeru agar aktiviti Parlimen dapat diteruskan dengan mewujudkan Kumpulan Ahli Parlimen Rentas Parti (APPGM).

Proham turut mencadangkan agar anggota masyarakat sivil turut dilantik dalam panel bebas ini.

“Terdapat keperluan untuk pendekatan keseluruhan masyarakat dengan melibatkan pelbagai pihak dalam tempoh ini.”

Kerajaan juga diminta mengembangkan Terma Rujukan atau Term of Reference (ToR) panel bebas agar mempunyai kuasa untuk mengkaji semula penyalahgunaan kuasa dan ancaman terhadap hak demokrasi dan hak asasi manusia.

Semalam, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Agong memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Dalam pada itu, Proham juga mahu satu peranan lebih besar diberikan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam mendengar keluh kesah rakyat dan menyiasat segala pelanggaran hak asasi yang berkemungkinan berlaku sepanjang penangguhan Parlimen.