Monday, November 29, 2021

Terpulang ibu bapa mahu hantar anak ke tadika swasta, kata menteri

Premis tadika swasta dibenarkan operasi bagi memenuhi keperluan ibu bapa dan penjaga yang bekerja.

Other News

Kebenaran tadika swasta beroperasi dibuat bagi memenuhi keperluan oleh ibu bapa dan penjaga yang bekerja memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kali ini dilihat lebih “mesra ekonomi” berbanding pelaksanaan kali pertama pada Mac tahun lalu, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.

Radzi berkata, keputusan untuk menghantar anak-anak ke premis tadika menjadi tanggungjawab ibu bapa, walaupun terdapat pelbagai faktor yang diambil kira seperti kesihatan dan keselamatan.

“Tetapi, dalam konteks keperluan, kita benarkan tadika swasta untuk dibuka,” katanya dalam satu sesi taklimat bersama media di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian pendidikan memaklumkan semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.

Ini menimbulkan perdebatan meluas dalam kalangan ibu bapa di media sosial yang berpandangan anak-anak tidak sepatutnya berada dalam premis tadika dalam tempoh pelaksanaan PKP ini.

Bagaimanapun, Radzi berkata, pihaknya akan memastikan semua pihak termasuk pengusaha tadika dan ibu bapa bekerjasama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sejak tahun lalu sebelum sekolah ditutup sepenuhnya sehingga penghujung 2020.

Ketika ditanya sama ada para guru yang akan memulakan tugas pada 20 Januari ini perlu menjalani ujian swab jangkitan Covid-19, Radzi menegaskan langkah itu tidak perlu dilaksanakan buat masa sekarang.

Katanya, sudah memadai dengan pematuhan SOP di sekolah untuk mengurangkan jangkitan dalam kalangan murid dan guru.

“Ini adalah berkaitan kapasiti kesihatan atau sistem kesihatan yang ada, dengan SOP yang dilaksanakan, maka kita akan pastikan perjalanan pembelajaran dan pengajaran boleh dijalankan dengan selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi memaklumkan pusat tuisyen swasta di dalam kawasan PKP masih belum dibenarkan beroperasi, akan tetapi para guru di sekolah disarankan untuk menjalankan kelas tambahan di sekolah bagi calon peperiksaan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Kalau nak buat kelas tambahan di sekolah, kita benarkan.

“Tetapi bagi pusat tuisyen di negeri PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) boleh beroperasi.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles