- Iklan -
Berita

PKP cukup untuk perangi Covid-19, kata pemimpin utama PH

Pelaksanaan darurat dilakukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah 'demi menyelamatkan diri sendiri'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang awam mendengar pengumuman khas darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini melalui peranti digital. Gambar: Bernama
Orang awam mendengar pengumuman khas darurat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini melalui peranti digital. Gambar: Bernama

Tiga pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) menolak perisytiharan darurat oleh Yang di Pertuan Agong pagi tadi, mengatakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah cukup untuk membendung wabak Covid-19.

“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan PKP yang diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini,” kata Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu dalam satu kenyataan petang ini.

“Sebagai contoh, dalam isu mengambil alih hospital-hospital swasta untuk membantu dalam kes-kes COVID-19, hospital-hospital swasta ini memang bersedia membantu pihak kerajaan dan kuasa darurat tidak diperlukan untuk mendapatkan kerjasama mereka”.

Tiga pemimpin PH itu berkata, pelaksanaan darurat dilakukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah “demi menyelamatkan diri sendiri”.

“Kami berpandangan bahawa tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik Covid-19 dan membebankan rakyat,” kata kenyataan itu.

Pagi tadi Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan satu pengisytiharan darurat bagi membendung pandemik Covid-19 sehingga 1 Ogos 2021.

“Seri Paduka Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Aziz, kedua-duanya daripada Umno mengumumkan menarik kembali sokongan yang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Dalam kenyataan hari ini pemimpin tertinggi PH berkata, berkenaan isu pilihan raya, perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai.

“Bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihan raya Umum ke-15 pula hanya perlu diadakan menjelang 2023,” kata kenyataan itu.