- Iklan -
Berita

Covid-19 catat angka tertinggi lagi, 3,309 kes baru dilaporkan

Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini melepasi angka 30,000.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan petugas kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas penumpang yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan. Gambar: Bernama
Kelihatan petugas kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas penumpang yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan. Gambar: Bernama

Sebanyak 3,309 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk enam jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 141,533, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,469 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 110,584 kes atau 78.1%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,007 kes, diikuti Johor 442 dan Sabah 409 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 30,390.

“Daripada jumlah itu 190 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 83 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat empat lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 559 orang.

Katanya terdapat 11 lagi kluster baru dikesan.

“Empat kluster dilaporkan di Kuala Lumpur membabitkan Kluster Udarama (21 kes), Kluster Iris (11 kes), Kluster Jalan Kiara (22 kes) dan Kluster Dialis Batu (6 kes),” katanya.

Dua kluster masing-masing dilaporkan di Selangor dan Kelantan melibatkan Kluster Jalan Manan (83 kes) dan Kluster Persiaran Kuala (44 kes) serta Kluster Kampung Badak (39) dan Kluster Taman Kesedar (14 kes).

Baki tiga lagi kluster melibatkan Kluster Bukit Sekubung di Sarawak (21 Kes), Kluster Dialisis Putra di Putrajaya (11 kes) dan Kluster Permint Harmoni di Terengganu (8 kes).