- Iklan -
Berita

Banjir di Pahang, Johor, Kelantan beransur pulih

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Kampung Ajai, Raub, Pahang, Abdul Raof Muntil, 51, bersama ahli keluarga membersihkan kawasan rumahnya. Rumah yang selama ini menjadi tempat berteduh kini hanya tinggal tangga sahaja kerana dihanyutkan banjir besar. Gambar: Bernama
Penduduk Kampung Ajai, Raub, Pahang, Abdul Raof Muntil, 51, bersama ahli keluarga membersihkan kawasan rumahnya. Rumah yang selama ini menjadi tempat berteduh kini hanya tinggal tangga sahaja kerana dihanyutkan banjir besar. Gambar: Bernama

Keadaan banjir di Pahang, Johor dan Kelantan beransur pulih pagi ini, dengan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Bagaimanapun, portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan, paras air sungai di beberapa lokasi masih melepasi paras bahaya antaranya di sepanjang Sungai Pahang termasuk Lubuk Paku dan Maran, Sungai Jelai di Lipis serta Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu di Kelantan.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir yang berada di 206 PPS pagi ini ialah seramai 20,823 orang daripada 5,702 keluarga.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan daerah masih terjejas banjir dengan Temerloh merekodkan mangsa paling ramai iaitu 11,039 orang diikuti Pekan (2,842) dan Maran (2,224), Bera (1,614), Lipis (1,149), Kuantan (749), Raub (658), Jerantut (523) dan Rompin (25).

Di Johor, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 3,598 orang daripada 996 keluarga setakat 8 pagi ini melibatkan tujuh daerah berbanding 3,612 orang daripada 1,001 keluarga, yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata Kota Tinggi kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,198 orang diikuti Johor Bahru (1,084), Kulai (99), Kluang (97), Segamat (81), Mersing (22) dan Pontian (17) yang ditempatkan di 40 PPS.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata hanya tiga jalan yang masih ditutup untuk kenderaan ringan iaitu Jalan J172 (di Mawai Lama) di Kota Tinggi, Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J156) (Segamat) susulan dinaiki air, manakala Jalan Kota Tinggi-Kluang (FT091) di Taman Seri Impian, Kluang ditutup berikutan tanah runtuh selain cuaca di beberapa daerah hari ini adalah mendung.

Situasi sama turut berlaku di Kelantan apabila jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Pasir Mas dan Kuala Krai semakin berkurang kepada 369 mangsa setakat 8 pagi ini, berbanding 888 mangsa pada petang semalam di tujuh PPS.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, daripada jumlah itu seramai 316 orang ditempatkan di empat PPS di Pasir Mas, dan tiga PPS masih dibuka bagi menempatkan 53 mangsa di Kuala Krai.