- Iklan -
Berita

Tiada TPM dilantik, khabar angin Muhyiddin sakit berniat jahat, kata PMO

Perdana menteri disahkan bebas daripada penyakit kanser oleh pakar-pakar perubatan yang merawatnya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika beramah mesra bersama sebahagian mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, Pahang semalam. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika beramah mesra bersama sebahagian mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, Pahang semalam. Gambar: Bernama

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini menafikan khabar angin seorang timbalan perdana menteri akan dilantik daripada Umno dan perdana menteri akan menjalani rawatan di luar negara.

“Khabar angin yang mengatakan YAB Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) perlu menjalani rawatan berikutan penyakit kanser yang dialami oleh beliau adalah tidak benar dan berniat jahat.

“YAB perdana menteri disahkan bebas daripada penyakit kanser oleh pakar-pakar perubatan yang merawat beliau,” kata PMO dalam satu kenyataan petang ini.

Sejak hujung minggu lalu, khabar angin berhubung Muhyiddin akan menjalani rawatan di Singapura dan seorang pemimpin Umno akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri bertebaran dalam media-media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun seorang sumber kanan di Putrajaya memberitahu MalaysiaNow hari ini khabar angin itu sengaja disebarkan dengan harapan meningkatkan lagi sokongan terhadap permintaan sebelum ini oleh pemimpin Umno, menjelang perhimpunan agung parti itu pada hujung bulan ini.

Sumber itu bagaimanapun menafikan laporan tersebut dengan mengatakan ia sekadar naratif sama berulang-ulang kali dimainkan sejak presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi gagal untuk mendapatkan jawatan nombor dua itu untuk dirinya.

“Sama seperti sebelum ini, perdana menteri dan Kabinet amat jelas mengenai satu perkara: apa jua bentuk rombakan bukan keutamaan sekarang ini ketika kerajaan sedang berusaha untuk menang dalam peperangan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow, merujuk kepada pertempuran selama 11 bulan melawan Covid-19 yang setakat ini sudah meragut lebih daripada 550 nyawa.