- Iklan -
Berita

Semakin ramai peluk Islam di Jepun, tetapi bimbang tentang pengebumian

Ramai yang khuatir di mana mereka akan dikebumikan selepas meninggal dunia di negara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam di Jepun meningkat dua kali ganda, daripada 110,000 pada 2010 kepada 230,000 pada penghujung tahun 2019. Gambar: AP
Umat Islam di Jepun meningkat dua kali ganda, daripada 110,000 pada 2010 kepada 230,000 pada penghujung tahun 2019. Gambar: AP

Bilangan penduduk beragama Islam di Jepun meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas kerajaan melaksanakan beberapa usaha untuk menarik lebih ramai pelajar dan pekerja dari luar negara, kata satu kajian dari Universiti Waseda menurut laporan The Economist.

Menurut Sejak 10 tahun lalu, jumlah umat Islam yang tinggal di negara matahari terbit itu meningkat dua kali ganda, daripada 110,000 pada 2010 kepada 230,000 pada penghujung tahun 2019.

“Ia termasuk 50,000 orang mualaf,” kata Tanada Hirofumi dari Universiti Waseda seperti dilaporkan The Economist.

Sehingga kini, dilaporkan kira-kira 110 buah masjid sudah dibina di negara tersebut dan menjadi satu perkembangan yang dialu-alukan oleh penduduk setempat.

Presiden Persatuan Muslim Beppu (BMA) Muhammad Tahir Abbas Khan yang juga seorang profesor di Universiti Asia-Pacific mengatakan ia merupakan perubahan yang amat dialu-alukan.

Katanya, ketika pertama kali sampai ke Jepun pada 2001 dari Pakistan sebagai seorang mahasiswa, hanya terdapat 24 buah masjid di seluruh negara ini, dan tiada satupun di Kyushu.

“Jika saya mati hari ini, saya tidak tahu di mana saya akan dikebumikan,” kata Khan.

“Sekarang ini orang Islam tidak lagi risau mengenai tempat beribadah, kecuali tanah perkuburan. Kira-kira 99% penduduk Jepun dibakar selepas meninggal dunia, akan tetapi Islam melarangnya,” katanya.

Kerajaan Jepun juga tidak memiliki satu sistem khas bagi memenuhi permintaan daripada orang asing daripada pelbagai latar belakang, ini kerana pekerja asing dianggap sebegai pelancong bukan penduduk tetap.

Sebilangan besar wilayah, termasuk Oita, di mana Beppu berada, tidak mempunyai tanah perkuburan Islam.

BMA berusaha bertahun-tahun untuk membina satu tanah perkuburan di Hiji, sebuah kawasan di pinggir Beppu, tetapi penduduk tempatan membantahnya.

“Jika saya mati hari ini, saya tidak tahu di mana saya akan dikebumikan,” kata Khan.

Pertikaian mengenai tanah perkuburan Islam mendapat perhatian meluas membabitkan pekerja asing dalam masyarakat Jepun.

Ada sebilangan penduduk Jepun menyambut baik kedatangan jiran baru mereka, walaupun tidak berapa memahami sepenuhnya mengenai budaya mereka.

“Disebabkan mereka menjadi orang Jepun, kita perlu memahami siapa dan budaya mereka,” kata Kawabe Yumiko, salah seorang ahli majlis bandar yang menyokong rancangan mewujudkan tanah perkuburan itu.

BMA mula mencari kawasan yang sesuai untuk dijadikan tanah perkuburan sejak sedekad yang lalu.

Pihak gereja katolik tempatan bersetuju untuk berkongsi tanah perkuburan yang dimiliki sementara BMA meneruskan usaha mencari kawasan yang bersesuaian.