- Iklan -
Berita

PKP dilaksanakan semula dua minggu di 6 negeri, kata PM

Negeri-negeri tersebut ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari di enam buah negeri akibat daripada peningkatan jangkitan Covid-19 secara mendadak yang menyaksikan kes mencecah empat angka setiap hari.

Negeri-negeri tersebut ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

“Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula pukul 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di saluran stesen televisyen tempatan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV, TV3 dan Astro Awani.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bermula 13 hingga 26 Januari 2021

PKP Pemulihan (PKPP) akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh berkenaan (dari 12 hingga 26 Januari)

Sejumlah 2,433 kes harian baru Covid-19 dilapor semalam menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah 135,992 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 27,332 kes.

Perdana menteri berkata, pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

“Operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.

“Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama,” katanya.

Menurut Muhyiddin, mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Menurut Muhyiddin, bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian Covid-19, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai adalah tidak dibenarkan.

“Seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKPP, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat,” katanya.

Katanya, bagi sektor ekonomi, lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

“Bagaimanapun, hanya 30% pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

“Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja,” katanya.

Muhyiddin berkata, mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.