- Iklan -
Berita

9 lagi kematian dilaporkan, 2,433 kes baru Covid-19

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 27,332.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang ibu dan anaknya memakai pelitup muka ketika membeli makanan ringan di sebuah kedai di Kajang, Selangor.
Seorang ibu dan anaknya memakai pelitup muka ketika membeli makanan ringan di sebuah kedai di Kajang, Selangor.

Sebanyak 2,433 kes baru Covid-19 dikesan hari ini termasuk tujuh jangkitan import, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 135,992 kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 1,277 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 108,109 kes atau 79.5%.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 730 kes atau 30%, diikuti Sabah 403 kes (16.6%) dan Johor 321 kes (13.2%),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 22,887.

“Daripada jumlah itu 171 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 76 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat sembilan lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 551 orang.

“Lima kematian dilaporkan di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan satu di Sabah,” katanya.

Katanya terdapat lima lagi kluster baru dikesan masing-masing dua di Selangor dan Kelantan serta satu di Sabah.

“Di Selangor kluster baru yang dilaporkan adalah Kluster Tapak Bina Cyber (67 kes) dan Kluster Texmile (19 kes) manakala di Kelantan membabitkan Kluster Alor Durian (17 kes) serta Kluster Wakaf Lanas (11 kes).

“Kluster Jalan Sibuga pula dilaporkan di Sabah dengan sembilan kes positif,” katanya.